Menyifatkan dakwaan terdapat kesepakatan antara Dr Mahathir Mohamad dan Hadi Awang untuk meletakkan beliau menggantikan Sanusi Nor selepas PRN, Mukhriz menganggap tohmahan berkenaan “sebagai mengarut”.
“Saya tak ada apa-apa rancangan untuk kembali ke Kedah sebagai menteri besar. Itu semuanya karut.
“Tak ada sebab untuk saya nak balik semula ke peringkat DUN tetapi di peringkat Parlimen untuk mewakili Kedah itu satu perkara yang terbuka bagi kami (Pejuang),” katanya.
Mukhriz berkata, tohmahan itu terbukti tidak benar selepas Pejuang mengumumkan tidak meletakkan calon di PRN enam negeri, selain mengambil pendekatan berkecuali.
Dalam sidang media baru-baru ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan parti menuju PRU16.
Ura-ura beliau akan dilantik semula sebagai menteri besar Kedah muncul selepas Mahathir dilihat aktif sepentas bersama Hadi dalam ceramah politik Perikatan Nasional (PN), dan beberapa pemimpin PN turut menyokong gerakan Proklamasi Orang Melayu yang digagaskan oleh bekas perdana menteri itu.
Mukhriz mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah pada 6 Mei 2013 selepas menang DUN Ayer Hitam. Bagaimanapun, tiga tahun selepas itu, beliau meletakkan jawatan selepas majoriti Adun BN mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.
Beliau yang pernah menjawat timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri antara 2009 hingga 2013 kembali semula ke Kedah pada 2018 selepas menang di DUN Jitra sebagai calon Bersatu, dan mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah ke-13.
Bagaimanapun, Mukhriz sekali lagi melepaskan jawatannya pada 17 Mei 2020 selepas Langkah Sheraton, yang membawa kepada tertubuhnya Pejuang ketika ini.