PERAKAM suara kokpit (CVR) iaitu sebahagian daripada kotak hitam milik pesawat terhempas di Bandar Elmina dekat Shah Alam ditemui 10.20 malam tadi kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Beliau berkata, komponen penting itu ditemui Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang kemudian membawanya ke makmal untuk tindakan seterusnya.
“CVR ini adalah sebahagian daripada komponen kotak hitam dan ia ditemui pada jam 10.20 malam tadi, manakala satu lagi komponen iaitu perakam data penerbangan (FDR) masih belum ditemui.
“Pencarian dan pemprosesan bagi fasa pertama sudah selesai pada jam 10.30 malam tadi yang mana kita jumpa 10 mayat dan lima lagi bungkusan cebisan badan yang terpisah.
“Semua mayat dan cebisan itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat dan pengecaman,” katanya menurut Berita Harian.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, proses bedah siasat mayat mangsa dijangka selesai tengah hari esok.
Menurutnya, proses pencarian fasa kedua diteruskan malam ini untuk mencari jika masih ada mayat yang tertinggal.
“Pada masa ini operasi mencari semua mayat selesai dijalankan, namun akan bersambung sekiranya masih ada anggota tubuh badan atau cebisan mayat yang hilang,” katanya.
Nahas kira-kira pukul 2.50 petang itu meragut nyawa 10 orang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.
Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.
Pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) itu yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada pukul 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.