• Thu. Feb 6th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Naib Ketua ARMADA dikhuatiri lemas, tergelincir cuba ambil selipar

Dec 11, 2020 ,
Spread the love

KOTA TINGGI: Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU yang dikhuatiri lemas di Tanjung Balau di sini, semalam, tergelincir daripada jeti ketika mahu mengambil selipar yang terjatuh.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pengerang, Mohd Faizal Asmar, berkata Mohd Zulfikrie Buang tergelincir dan ditarik ombak dalam kejadian berlaku ketika hujan lebat.

Mohd Faizal berkata, Mohd Zulfikrie sudah dikenalinya sejak beberapa tahun lalu, berikutan aktif dalam kerja kemasyarakatan di daerah berkenaan.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu adalah minggu lalu ketika Mesyuarat BERSATU Johor di sebuah hotel di Johor Bahru dan sempat berbual mengenai aktiviti yang akan dijalankan bersama nanti.

“Rakan yang bersama Mohd Zulfikrie petang semalam, memaklumkan beliau mahu mengambil seliparnya yang terjatuh ke laut ketika melakukan kerja membaiki Jeti Tanjung Balau.

“Rakannya sudah menasihatkan jangan turun dahulu kerana hujan lebat, namun Mohd Zulfikrie yang berada di perancah atau kerangka besi tiba-tiba tergelincir jatuh ke dalam laut. Kejadian berlaku sangat pantas.

“Rakannya berusaha menyelamatkannya, namun tidak berjaya kerana ombak kuat sebelum beliau hilang daripada pandangan, ” katanya ketika dihubungi.

Mohd Faizal berkata, Mohd Zulfikrie menjawat jawatan Naib Ketua ARMADA Kota Tinggi sejak Oktober lalu, adalah seorang ceria dan rajin membantu.

“Seramai kira-kira 100 anggota BERSATU Kota Tinggi dan Pengerang hadir ke lokasi Jeti Tanjung Balau bagi melihat operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Kami berdoa supaya segala-galanya dipermudahkan dan semoga ada keajaiban berlaku,” katanya.

Beliau berkata, keluarga Mohd Zulfikrie kini masih dalam keadaan terkejut dan meminta mereka diberi ruang berhadapan insiden berkenaan.