• Wed. Sep 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Naratif PAU tertumpu untuk sucikan DAP, pertahan Zahid sebagai Presiden

Jan 12, 2023
Spread the love

Semakin jelas naratif Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung kali ini akan tertumpu ke arah mencari jalan untuk mensucikan DAP dan juga mempertahankan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden.

Walaupun berdepan kekalahan terburuk dalam sejarah dengan Presiden tidak mahu mengaku kesilapan sendiri kerana mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disegerakan, kini UMNO mengambil jalan untuk mensucikan seteru mereka, DAP pada perhimpunan kali ini.

Bermula dengan taklimat khas oleh Zahid semalam dan disusuli dengan ucapan retorik Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, pemerhati politik boleh memahami jalan cerita yang sedang dijual kepada ahli-ahli UMNO untuk menghalalkan rancangan bersama DAP dan mengekalkan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebagai Presiden.

Selepas taklimat khas semalam, semua media arus perdana yang cenderung kepada UMNO melaporkan berhubung isu surat akuan berkanun (SD) yang ditandatangani oleh 10 Ahli Parlimen (MP) Barisan Nasional yang menyokong untuk bersama Perikatan Nasional (PN).

Isu 10 SD daripada MP BN itu sengaja dimainkan bagi mencipta persepsi kononnya wujud pengkhianat dalam parti yang bekerjasama dengan musuh walhal pengkhianat sebenar adalah individu yang mengheret untuk duduk sekatil dengan DAP dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi PM Ke-10.

Bagaimanapun, pengkhianat sebenar UMNO cuba mencari kesalahan orang lain dengan mewujudkan naratif kononnya terdapat satu lagi kumpulan pengkhianat dalam UMNO.

Langkah mewujudkan persepsi kononnya wujud satu lagi kumpulan pengkhianat tersebut dilihat sebagai cubaan mengaburi mata ahli-ahli UMNO daripada mengenalpasti pengkhianat sebenar yang sanggup mengenepikan maruah dan prinsip demi semata-mata kepentingan peribadi.

Adakah ahli-ahli dan perwakilan UMNO sudah lupa dengan ketetapan sebelum ini yang dibuat sendiri oleh Presiden berhubung pendirian ‘No Anwar, No DAP’?

Adakah ahli-ahli UMNO terlupa siapa sebenarnya yang melanggar ketetapan tersebut dan boleh mengubah pendirian mengikut sesuka hatinya asalkan kehendaknya dituruti?

Namun, mengenali ahli-ahli UMNO yang terlalu taksub dan mudah ditipu hidup-hidup, ia tidak menghairankan jika mereka terpedaya dengan naratif yang sedang dibawa tersebut sehingga menjadi punca kepada kekalahan memalukan dalam sejarah.

Nampaknya ahli-ahli UMNO masih tidak sedar dan masih mempercayai naratif yang dibawa oleh pimpinan atasan yang hanya mempergunakan mereka untuk kepentingan peribadi dan bukannya untuk kepentingan parti.

Sebelum ini pemimpin atasan UMNO membawa naratif kononnya parti sudah kuat dan bersedia menghadapi PRU-15 sehingga mendesak supaya ia disegerakan, tetapi lihat apa yang berlaku selepas itu? UMNO rebah dan kalah teruk.

Zahid yang mendesak PRU-15 disegerakan sehingga membawa UMNO rebah pula enggan mengakui kesilapan, malah diajak pula ahli-ahli untuk bersamanya memulihkan parti, walhal punca parti itu lemah datang daripada dirinya sendiri.

Pemimpin jenis apakah ini yang tidak mahu memikul tanggungjawab dan hanya tahu mencari kesalahan orang lain?

Tidak cukup dengan kekalahan yang memalukan dalam sejarah, kini UMNO mahu pula mengajar ahli-ahlinya untuk mensucikan DAP yang suatu ketika dahulu adalah musuh tradisi mereka sejak berdekad lamanya.

Lihat sahajalah ucapan Tok Mat semasa perasmian sayap UMNO, ucapannya itu secara tidak langsung adalah gesaan kepada ahli-ahli parti agar menerima DAP dengan hati yang terbuka dan menerima kerjasama yang sedang dijalinkan dalam kerajaan campuran ketika ini.

Ahli-ahli UMNO diajak untuk menelan apa sahaja yang DAP lakukan dalam kerajaan campuran, itulah doktrin terbaharu UMNO kepada ahli-ahlinya sekarang ini.

Mana maruah Tok Mat, bukankah beliau sebelum ini yang pernah berjanji tidak akan membiarkan UMNO berpeluk dengan DAP? Bukankah beliau sebelum ini yang mengajak ahli-ahli UMNO untuk berperang dengan DAP? Tetapi kini diajaknya pula ahli-ahli UMNO duduk sekatil.

Adakah Tok Mat menganggap ahli-ahli UMNO ini mudah dicucuk hidungnya untuk mengikut setiap arahan diberikan? Adakah Tok Mat melihat ahli-ahli UMNO sama seperti pemimpin UMNO yang tidak bermaruah sehingga sanggup mengadaikan prinsip untuk duduk bersama musuh orang Melayu dan Islam?

Sudah-sudahlah pemimpin UMNO menghina tahap kematangan ahli-ahlinya dengan beranggapan mereka semua bodoh dan mudah dimanipulasi untuk mengikut telunjuk hawa nafsu semata-mata.

Adakah Tok Mat berharap kerjasama bersama DAP dengan UMNO selepas ini akan dapat menguatkan parti semula?

Logik apakah yang Tok Mat sedang gunakan untuk menghalalkan langkah UMNO bersama DAP sekarang ini?

Daripada beria-ria mahu mensucikan DAP, lebih baik juga Tok Mat mencermin diri sendiri dan melihat siapakah yang menjadi punca UMNO itu lemah.

UMNO menjadi lemah disebabkan oleh pemimpinnya sendiri dan bukan disebabkan oleh parti lain, UMNO itu lemah disebabkan sikap angkuh dan berlagak pemimpinnya yang tidak mahu mendengar suara rakyat dan hanya mementingkan kuasa semata-mata.

UMNO itu lemah kerana segelintir pemimpinnya yang menggunakan parti seperti sebuah syarikat persendirian dan bukan sebagai sebuah entiti yang memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam lagi.

UMNO itu lemah disebabkan menolak perubahan dan tidak mahu berubah.

Cukuplah menyalahkan parti lain sebagai punca UMNO lemah, lebih baik cermin diri sendiri untuk melihat punca sebenarnya parti itu ditolak rakyat semasa PRU-15 lalu dan bukannya dengan mencari alasan menyalahkan pihak lain. AD