• Wed. Sep 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Nasib KJ ditentukan hari ini

Jan 25, 2023
Spread the love

Nasib bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam parti akan ditentukan dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden UMNO mengesahkan keputusan dalam menentukan bentuk hukuman terhadap bekas Ahli Parlimen Rembau akan dimuktamadkan dalam mesyuarat parti itu hari ini, ia selepas kritikan Khairy terhadap pemimpin atasan parti tersebut kebelakangan ini.

“Petang ini,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia ketika ditanya pemberita berhubung perkara tersebut.

Khairy sebelum ini secara terbuka mengakui tidak menggemari segelintir pemimpin UMNO dan mahu ‘membersihkan’ parti itu, jika berjaya menawan Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau dalam masa yang sama turut menegaskan, semua pihak perlu mengakui UMNO perlu berubah untuk kembali menjadi parti yang boleh dibanggakan dan menjadi wadah politik terbesar seperti suatu ketika dahulu.

Mesyuarat UMNO dijadual diadakan petang di Menara Dato’ Onn.

Untuk rekod, Khairy juga sebelum ini secara terbuka menyatakan hasrat untuk bertanding bagi merebut jawatan Presiden parti tetapi malangnya UMNO memuktamadkan usul tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi semasa Perhimpunan Agung yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam pada itu, Khairy juga memuji tindakan dua ahli UMNO yang membuat aduan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) minggu lepas berhubung usul tiada pertandingan tersebut. AD