• Fri. Dec 1st, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

“Negara madani apa sampai tak iktiraf Kelantan, Terengganu?” Soal Ustaz Dusuki

Jan 18, 2023
Spread the love

Ustaz Ahmad Dusuki And Rani mempersoal keputusan kerajaan perpaduan tidak menyalurkan wang bantuan banjir secara terus kepada kerajaan negeri yang tidak sealiran dengan Pusat.

Sebaliknya ia disalur melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), sepertimana disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani turut mempersoal tindakan tersebut yang disifatkan seakan tidak mengiktiraf kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Ini kerana katanya, kedua-dua kerajaan negeri tersebut dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya.

“Negara Madani apa sehingga tidak mengiktiraf kerajaan negeri Kelantan dan Trengganu yang di pilih rakyat bagi menyalurkan bantuan banjir kepada rakyat diberi menerusi JPP,” soalnya.

Baru-baru ini, kerajaan Kelantan mendedahkan tidak menerima bantuan banjir RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata sebaliknya bantuan banjir itu disalurkan oleh Kerajaan Pusat kepada JPP Kelantan.

“Mengikut janji Perdana Menteri, beliau nak beri bantuan banjir kepada Kelantan RM50 juta dan Terengganu RM50 juta.

“Sekarang bantuan itu disalurkan kepada JPP. Bagaimana kaedah JPP nak agih kepada rakyat Kelantan, itu kita (kerajaan negeri) tidak tahu,” katanya.

Semalam Pemuda PAS Terengganu mendakwa Umno mengulangi ‘permainan’ lama dengan menubuhkan JPP bagi mengawal peruntukan kerajaan Pusat daripada disalur terus kepada negeri.

Ketua Penerangannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata penubuhan jabatan itu disifatkan mempunyai kepentingan politik termasuk menganaktirikan negeri-negeri yang tidak sealiran dengan Pusat.