• Fri. Oct 4th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Negeri lain ‘cemas’ kurang air, pernahkah ‘rasai’ Kelantan? – Nazman

Jun 26, 2023
Spread the love

MUTAKHIR ini banyak pihak memperkatakan mengenai risiko, kesan dan akibat el-Nino yang melanda rantau dan negara ini. Ia dijangka menjadi semakin ekstrem dan memungkinkan bencana berantai kepada pelbagai sektor dan banyak pihak lain.

Antara sering dilihat adalah peringatan atau amaran untuk berjaga-jaga terhadap paras atau margin air di empangan-empangan. Kenyataan itu disuarakan terbuka kepada awam oleh pihak berautoriti berkaitan bukan untuk mencetuskan kegusaran atau kebimbangan.

Ianya satu pemberitahuan agar mengambil maklum bahawa adanya persediaan dan tindakan serta kewaspadaan bersama untuk menghadapi situasi yang boleh terjadi. Implikasi paling besar dari kekurangan sumber air mentah tersebut tentulah ketiadaan kemampuan untuk membekalkan keperluan air yang cukup kepada penggunaan harian.

Ia kecemasan yang menimpa kepada semua tanpa terkecuali dan memerlukan solidariti untuk mengharungi tempoh tersebut dengan jayanya. Begitulah juga hakikat sebenar kepada masalah yang membelenggu dan dijadikan modal politik pihak tertentu terhadap negeri Kelantan Darul Naim dalam isu bekalan air bersih.

Ketika ini, makluman peringatan itu menjadi ‘siren isyarat amaran’ terutamanya kepada warga penduduk di Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor. Ia berikutan kadar air di lapan empangan utama di lima negeri tersebut sedang menyusut ke paras kritikal, di samping mengalami kekurangan hujan.

Lima negeri tersebut memiliki sejumlah 43 empangan dari semua 104 buah yang ada di seluruh Malaysia di mana sebahagian besarnya untuk perbekalan air, tebatan banjir, pengairan dan saliran serta pertanian. Ia tidak termasuk takungan-takungan khas lain bagi tujuan sama, selain beberapanya merupakan empangan hidroelektrik dan rekreasi.

Kini dengan hanya beberapa atau sejumlah kecil dari empangan itu mungkin terjejas, ia telah begitu dibimbangi kerana dijangka memberi impak yang besar. Jadi sekiranya pihak berautoriti dan rakyat di negeri-negeri tersebut gusar, apakah penghuni bumi Kelantan tidak mempunyai denyut rasa yang sama?

Untuk pengetahuan, di Kelantan cuma ada dua aset itu yakni Empangan Pergau yang sepenuhnya berfungsi bagi tujuan hidroelektrik dan Empangan Kwong bagi tujuan tebatan banjir serta pengairan, saliran dan pertanian. Bakal dibina adalah Empangan Nenggiri dan Empangan Lebir juga tujuan serupa.

Jadi, Kelantan sebenarnya tidak mempunyai empangan yang khusus bagi tujuan perbekalan air untuk memenuhi keperluan warga penduduk berjumlah 1.8 juta. Selama ini, loji-loji rawatan air mengabstrak sumber mentah dari sungai hampir 350 juta liter sehari (JLH) dan bawah tanah sekitar 200 JLH.

Setakat Mei 2023, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membekalkan air terawat sekitar 484.5 JLH kepada 255,000 akaun, sedangkan keperluan semasa sudah melebihi 800 JLH. Kapasiti ini hanya mewakili separuh daripada pengguna di Negeri Kelantan, di mana jika mahu 99 peratus rakyat menggunakan air AKSB, maka sekitar 500 JLH lagi diperlukan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menetapkan bahawa margin simpanan air bagi perbekalan keperluan awam mestilah berada pada tahap sekurang-kurangnya 15 peratus. Tetapi Kelantan pula sejak dari sebelum SPAN ‘dilahirkan’ pun tidak pernah memiliki simpanan air atau 0 peratus margin simpanannya.

Maka, bumi Kelantan juga berhak merasa cemas, walaupun sebenarnya telah lebih 30 tahun keadaan ‘cemas’ itu sebenarnya dilalui sebagai nasib yang realiti rakyat negeri ini. Kelantan dinafikan dan dianaktirikan dari peruntukan geran untuk menyediakan perkhidmatan perbekalan air.

Pinjaman yang diberi pula jauh dari mencukupi, selain ia diberikan secara penjadualan menyulitkan untuk projek berkaitan dilaksanakan secara teratur. Akibatnya, bersama dengan perjalanan masa dan peningkatan harga yang dialami negara serta dunia global, kos untuk menyediakan fasiliti berkaitan juga melambung.

Dari keperluan hanya sekitar RM2 bilion, kos merangkumi penyediaan sama fasiliti-fasiliti sokongan lain yang menjadi keperluan semasa telahpun meningkat kepada RM8 bilion. Antara termasuk di dalam peruntukan besar dipohon itu adalah bagi pembinaan lima lagi Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).

TAPS ini setidak-tidaknya bolehlah menggantikan fungsi empangan di mana ia bertindak sebagai tempat penyimpanan air mentah sebelum diproses atau dirawat. Ia akan menyalurkan keperluan sepanjang masa kepada fasiliti-fasiliti telah atau sedang dibangun dan dinaiktaraf terutama loji rawatan air (LRA).

Pembinaannya dicadangkan di Jeli, Gong Kulim, Kuala Jambu, Tunjong dan Meranti, selain TAPS di Machang yang telahpun diluluskan oleh kerajaan sebelum ini. TAPS di Machang itupun kini di peringkat kajian sumber air yang dijangka siap tahun 2024 di mana rekabentuk TAPS akan mengambil masa 2 tahun (2024-2025). 

Pembinaannya akan bermula tahun 2026 dan dijangka siap tahun 2029 di mana sudah tentulah lima lagi TAPS lain dicadangkan di Jeli, Gong Kulim, Kuala Jambu, Tunjong dan Meranti itu akan mengambil masa lagi. Bermakna permohonan RM8 bilion Kelantan itu adalah untuk jangka panjang dan masa depan.

Apatah lagi peruntukan RM8 bilion itu sekiranya diluluskan pun, ia bukan diberi sekali gus di mana paling terkini dilihat Kerajaan Persekutuan seperti akan meluluskan sekitar RM5 bilion. Itupun belum dimuktamadkan sama ada peruntukan itu berupa geran atau pinjaman dan setakat terdekat baru diluluskan RM1.7 bilion, tetapi untuk tahun ini diberi cuma RM500 juta dahulu.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre