SHAH ALAM, 9 OGOS 2022 – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kecenderungan untuk meningkatkan kadar faedah pada September, menyaksikan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) untuk kali ketiga berturut-turut tahun ini, kata Kenanga Research (Kenanga).
Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan OPR adalah berdasarkan jangkaan bahawa kadar inflasi Malaysia akan berada pada purata melebihi paras 4.0 peratus pada separuh kedua 2022 (2H22) berikutan kenaikan harga makanan di tengah-tengah peningkatan kos import.
“Dalam usaha untuk selaras dengan pendirian bank-bank pusat yang lain, kami beranggapan BNM akan terus mengetatkan mesyuaratnya dengan OPR mencecah 3.0 peratus menjelang suku pertama 2023 ,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, Kenanga berkata ringgit mungkin terus diniagakan melepasi paras 4.40 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat.
.“Ini ialah kerana permintaan untuk mata wang yang lebih selamat dijangka kekal kukuh didorong oleh kebimbangan yang semakin memuncak mengenai kemelesetan global, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang terus cenderung menaikkan kadar faedah, ketegangan AS-China yang berpotensi untuk terus meningkat dan krisis tenaga Eropah.
“Bagaimanapun, mata wang tempatan mungkin mula mengukuh kembali berbanding dolar AS pada suku keempat 2022 berikutan jangkaan aliran pelaburan asing yang utuh ke Malaysia di tengah-tengah peningkatan selera risiko untuk aset pasaran pesat membangun,” katanya.
Di pasaran bon, firma penyelidikan menjangkakan permintaan asing untuk bon domestik akan terus tertekan pada Ogos susulan sentimen penolakan risiko global disebabkan kebimbangan kemelesetan yang berlarutan dan ketegangan AS-China yang diperbaharui.
“Hasil domestik diunjurkan meningkat minggu ini, mengambil petunjuk daripada lonjakan hasil Perbendaharaan AS baru-baru ini selepas kebimbangan mengenai kemelesetan AS kembali reda berikutan laporan pekerjaan bulan Julai yang jauh lebih baik daripada jangkaan,” katanya.
Bagaimanapun, ia berkata, aliran menaik itu mungkin dihadkan oleh pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia untuk suku kedua 2022 yang berpotensi kukuh dan ia dijangka diumumkan pada 12 Ogos 2022.-BERNAMA