• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

OPR kekal, ‘ang pow’ kepada rakyat sempena Tahun Baharu Cina

Jan 20, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memberhentikan kenaikan kadar faedah adalah ‘ang pow’ kecil Tahun Baharu Cina untuk peminjam bank.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, berkata bank pusat melaksanakan beberapa siri kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun lalu sebanyak satu peratus berikutan kegagalan sebelum ini untuk mengawal kedua-dua inflasi dan kejatuhan mendadak nilai ringgit.

Katanya, dengan menghentikan kenaikan kadar faedah, kerajaan akan mempunyai peluang untuk menangani pertumbuhan yang lebih perlahan akibat kemelesetan Amerika Syarikat (AS).

“Mengekang kos pinjaman akan membantu mengurangkan tekanan kos ke atas peminjam individu dan bank serta meningkatkan perbelanjaan penggunaan yang lebih tinggi.

“Pemberhentian kenaikan kadar faedah adalah ‘ang pow’ kecil Tahun Baharu Cina kepada peminjam dan diharapkan akan membolehkan Kerajaan Perpaduan memberikan tumpuan penuh untuk mengurangkan kos perniagaan di samping menjana lebih banyak peluang perniagaan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasminya.

Guan Eng berkata, keputusan BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, menawarkan perniagaan dan peminjam bank penangguhan yang amat diperlukan daripada kenaikan kadar faedah untuk menangani jangkaan kemelesetan ekonomi di AS.

“Seterusnya, pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 24 November juga mengukuhkan keyakinan pelabur dan pasaran, terbukti dengan peningkatan ketara nilai ringgit berbanding dolar AS daripada RM4.75 di bawah kerajaan terdahulu kepada RM 4.32 hari ini,” katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, sebab utama kenaikan kadar faedah berpunca daripada keperluan BNM untuk membendung inflasi dan juga mengekang penurunan nilai ringgit yang mendadak, yang jatuh ke paras terendah berbanding dolar Singapura dan dolar AS di bawah kerajaan terdahulu.

“Jelas sekali, kebimbangan terhadap inflasi dan kejatuhan nilai ringgit yang semakin meruncing sudah surut di bawah Kerajaan Perpaduan yang dilihat sebagai pertaruhan yang lebih selamat untuk pelabur,” katanya.

  • BH