• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

OPR naik 3.0 peratus

May 3, 2023
Spread the love

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan di luar jangkaan dengan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.https://a9611fd0528fac0e4cdfee11c42aac9a.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-40/html/container.html

Kenaikan OPR itu adalah pertama bagi tahun ini selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu telah dikekalkan pada Januari dan Mac lalu pada paras 2.75 peratus.

Dalam satu kenyataan, BNM berkata, ekonomi global terus didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh serta pemulihan ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Walau bagaimanapun, bank pusat itu berkata, ekonomi global terus terjejas oleh tekanan kos yang tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi.

Ia berkata, inflasi keseluruhan terus menurun namun inflasi teras terus melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.

Katanya, pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat.

“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara termasuk berikutan tekanan yang berterusan dalam sektor perbankan.

“Bagi ekonomi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi berkembang selanjutnya pada suku pertama tahun 2023 selepas mencatatkan prestasi kukuh pada 2022,” katanya.

BNM berkata, meskipun eksport dijangka menjadi sederhana, pertumbuhan pada 2023 akan didorong oleh permintaan dalam negeri.

Ia berkata, perbelanjaan isi rumah kekal berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang lebih baik memandangkan pengangguran terus menurun ke tahap sebelum pandemik.

Katanya, ketibaan pelancong yang meningkat dijangka menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan.

“Projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan akan menyokong aktiviti pelaburan.

“Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan tanpa tanda-tanda pengetatan berlebihan yang mempengaruhi aktiviti penggunaan dan pelaburan,” katanya.

BNM berkata, risiko prospek pertumbuhan dalam negeri secara relatif seimbang.

Ia berkata, risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada faktor dalam negeri seperti aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan projek termasuk projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023, manakala risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu.

“Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan menunjukkan trend menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini disebabkan oleh faktor kos yang menurun.

“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023, berpurata antara 2.8 peratus hingga 3.8 peratus,” katanya.

Walau bagaimanapun, BNM berkata, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi berikutan keadaan permintaan yang kukuh.

Ia berkata, kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada akan terus membendung sebahagian daripada tekanan inflasi yang meningkat.

Katanya, imbangan risiko terhadap prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri termasuk mengenai subsidi dan kawalan harga, perkembangan pasaran kewangan serta harga komoditi global.

“Memandangkan prospek pertumbuhan dalam negeri yang terus berdaya tahan, MPC menilai bahawa kini adalah masa yang tepat untuk terus mengembalikan tahap akomodasi monetari ke paras yang wajar.

“Berikutan keputusan ini, MPC telah mengakhiri rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis COVID-19 bagi menggalakkan pemulihan ekonomi.

“Susulan kekukuhan ekonomi Malaysia yang berterusan, MPC juga mengakui perlunya pendirian dasar monetari yang wajar bagi mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan,” katanya.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

MPC akan terus memastikan pendirian dasar monetari kekal konsisten dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.