TAIPING, 6 JUN 2022- Dunia yang dikuasai oleh barat hari ini tidak akan membenarkan gerakan Islam menerajui pentadbiran negara. Pesuruhjaya PAS Perak YB Tuan Hj Razman Zakaria berkata, bagi tujuan itu langkah pertama yang diambil adalah dengan memberikan bayangan negatif kepada gerakan Islam yang dilihat berpotensi bangkit dalam mana-mana negara.
Seiring dengan itu, mereka akan merangka tindakan seterusnya sehingga ke peringkat ketenteraan di mana tindakan yang dilakukan pada akhirnya adalah bertujuan menghalang kebangkitan mana-mana gerakan Islam di mana-mana tempat sekalipun.
Menurut Razman, walau apa sekalipun tindakan yang dilakukan point utama adalah ianya akan bermula dengan propaganda atau perang saraf bagi menimbulkan naratif yang akan menghalalkan tindakan seterusnya di mana peranan itu dimainkan oleh media yang dikuasai oleh mereka.
“Apa yang Pak Teh (Razman Zakaria) nak sentuh adalah mengenai saraf atau pun media ni amat penting. Kalau kita tengok bagaimana barat menguasai negara Islam. Satu perkataan sahaja digunakan iaitu ‘terrorist’ ataupun pengganas.
“Dengan satu perkataan itu sahaja telah menghalalkan tindakan mereka masuk ke negara umat Islam. Dan dunia tidak boleh menghalang kerana alasan memerangi keganasan yang dimomokkan oleh propaganda yang dimainkan.
“Kita lihat senario politik sekarang, tok Guru (Presiden PAS Abdul Hadi Awang) pun datang ke sini pernah sebut bahawa gerakan dunia tidak akan membenarkan parti atau gerakan Islam ini mentadbir.
“Islam pernah menang di Indonesia melalui parti Masyumi, dia lingkupkan. Pernah menang di Algeria melalui FIS (Islamic Salvation Front) dia lingkupkan. Di zaman kita ini pernah menang di Mesir (presiden Morsi) juga dilingkupkan.
“Termasuk dengan taqiyah (gerakan Islam yang berselindung) di Turki (pimpinan recep tayyip erdogan) turut cuba dirampas kuasa dan cuba disekularkan dengan menaja orang dalam.
“Semua yang dilakukan adalah supaya tidak membenarkan orang Islam ataupun gerakan Islam ini berkuasa. Tidak terkecuali di Malaysia, kemasukan agen asing melalui orang dalam di negara ini harus diambil perhatian. Ini kita kena faham”, jelas Razman.
Beliau berkata demikian sewaktu program penutup bersama pengamal media swasta dan medsos yang diadakan di hotel Taiping Perdana pada Ahad.