Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri mengkritik Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dianggapnya sebagai liabiliti kepada Pakatan Harapan dan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penyokong tegar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini membalas lagi kritikan terhadap Presiden UMNO itu sambil mendakwa ada tuduhan mengatakan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy, ‘sakit mental’.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) dilantik, Datuk Puad Zarkashi pula menggesa Ramasamy ‘melihat cermin’ dahulu setelah dia melabelkan Zahid sebagai ‘pemimpin paling tercemar’ dalam UMNO.
Menurutnya Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu sendiri adalah “beban” kepada DAP.
“Ramasamy dakwa Zahid beban pada UMNO. Dia lupa dirinya adalah beban kepada DAP. Sebab itu DAP Putrajaya desak Ramasamy dikenakan tindakan disiplin,” katanya dalam kenyataan hari ini (16 Januari 2023).
Semalam, Ramasamy dalam kenyataannya menyifatkan Zahid sebagai liabiliti kepada bukan sahaja terhadap UMNO, tetapi juga Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, itu membidas keputusan UMNO enggan membenarkan pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden yang menjadikan Zahid kekal menerajui parti itu, tetapi akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada PH dan kerajaan Anwar.
Beliau juga menyifatkan Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO itu sebagai ‘albatross’ atau ‘pembawa masalah yang menjadi penghalang’ yang bukan sahaja melingkari leher UMNO, tetapi juga PH.
Ramasamy juga berkata UMNO telah kehilangan sokongan majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kerana beberapa pertuduhan rasuah terhadap Zahid.
Mengulas lanjut, Puad berkata pemimpin DAP itu adalah antara individu di negara ini yang menjulang perjuangan keganasan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) – pertubuhan yang diketagorikan sebagai pengganas.
“Dia marah kenapa seorang sahaja Menteri India dalam Kabinet Anwar Ibrahim. Dia tuduh Dr Zakir Naik sebagai “Syaitan”. Dia menjulang perjuangan keganasan LTTE.
“Lebih teruk dia tuduh kes tiga anak Loh Siew Hong yang memeluk agama Islam di Perlis sebagai penculikan. Ada tuduhan, Ramasamy sakit mental,” kata Puad lagi.