• Mon. Sep 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PANAS!! Kesatuan Wartawan kecam Menteri Komunikasi

Mar 31, 2023
Spread the love

KESATUAN Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) membantah sekeras-kerasnya tindakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyelar laporan analisis Berita Harian (BH) bertarikh 30 Mac 2023 mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Presiden NUJM Farah Marshita Abdul Patah, berkata laporan BH itu adalah berdasarkan ramalan OPR yang memetik pakar kewangan.

Menurutnya, adalah menjadi amalan media di seluruh dunia untuk menyiarkan berita berdasarkan pendapat dan unjuran pakar industri.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap media, Fahmi seharusnya lebih peka dengan amalan dan cara kerja media tempatan.

“Tindakan beliau bukan saja menjejaskan laporan BH, malah komen yang ditulis dengan menggelar laporan itu sebagai “fitnah” dan pembohongan telah menimbulkan persepsi negatif di kalangan pembaca terhadap media,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, komen yang dibuat oleh menteri berkenaan juga dilaporkan oleh portal, Malaysia Now bertajuk, “Fahmi naik angin atas laporan kemungkinan kenaikan OPR.”

“Di manakah kebebasan akhbar seperti yang dijanjikan oleh kerajaan baharu jika ‘menteri’ media sendiri melabelkan artikel oleh media tempatan mengenai unjuran kewangan sebagai “fitnah?”

“NUJM berharap menteri dapat memahami dengan lebih mendalam cara kerja dan penulisan media tempatan sebagai sumber berita yang boleh dipercayai, bertanggungjawab dan kredibel,” tegasnya.

Terdahulu dalam satu hantaran di Facebook, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mendakwa laporan di Berita Harian Online mengenai “OPR dijangka naik sekali lagi seawal Julai” menjadi fitnah terhadap Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kerajaan.

Belia turut menyatakan akan berjumpa pengurusan BH mengenai perkara itu.

BH dalam laporannya semalam yang memetik beberapa pakar kewangan, melaporkan BNM dijangka sekali lagi menaikkan OPR sebanyak 25 mata peratusan seawal Julai ini.

Laporan itu memetik kenyataan Ketua Penyelidik/Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Capital, Alan Tan; Ketua Penyelidik TA Securities, Kaladher Govindan; dan Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.