Pengarah Komunikasi AMANAH Melaka, Jamzuri Ardani, menjadi pemimpin AMANAH keempat terpaksa memohon maaf kepada penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, dalam tempoh empat bulan.
Dalam permohonan maaf yang direkodkan di depan Hakim Mahkamah Sesyen 7, Kuala Lumpur, Puan Lailatul Zuraida Harron @ Haron, hari ini Jamzuri memohon maaf kepada Dr Kamarul di atas posting Facebook beliau bertarikh 5 April 2020.
Serentak dengan itu, Jamzuri juga menarik balik kenyataan beliau dalam posting Facebook beliau itu yang menyentuh mengenai Dr Kamarul.
Antara lainnya posting Facebook Jamzuri itu mendakwa Dr Kamarul sebagai:
(i) seorang yang terlalu naif;
(ii) seorang yang hanya mampu mengeluarkan kenyataan yang merupakan satu provokasi politik bodoh; dan
(iii) bukan ahli akademik yang cerdik, bukan ahli akademik yang berprinsip serta menjadi kuda tunggangan orang politik;
Sebelum ini, pada 11 September, Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak, Mohd Fitri Asmuni, juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau dalam posting-posting Facebook beliau yang menyentuh mengenai Dr Kamarul.
Antara lainnya posting Facebook Mohd Fitri itu mendakwa Dr Kamarul sebagai:
(i) seorang cybertrooper bertaraf doktor;
(ii) seorang yang cuba membohongi dan mengelirukan pembaca dengan penulisan beliau; dan
(iii) seorang penakut yang hanya mampu berselindung di sebalik penulisan beliau seperti di media sosial Facebook.
Selain itu, pada 29 Oktober, Ketua Pemuda AMANAH Sungai Besar, Selangor, Ahmad Zhafri Md Noor, juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau dalam posting-posting Facebook beliau yang menyentuh mengenai Dr Kamarul.
Antara lainnya posting Facebook Ahmad Zhafri itu mendakwa Dr Kamarul sebagai:
(i) seorang yang mempunyai mentaliti pengalah (loser mentality);
(ii) seorang yang sengaja meniup fitnah yang mengapi-apikan sentimen perkauman; dan
(iii) seorang yang bersifat jahat dan suka menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama.
Lebih baru, pada 4 Disember, mantan Naib Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Kamal Koh Abdullah juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau dalam posting-posting Facebook beliau yang menyentuh mengenai Dr Kamarul.
Antara lainnya posting Facebook Kamal Koh itu mendakwa Dr Kamarul sebagai:
(i) seorang penghasut profesional;
(ii) seorang yang menulis tulisan yang kekosongan; dan
(iii) seorang yang mendidik rakyat Malaysia menjadi sempit, emosional dan rasis atau asabiyah perkauman.
Turut sama memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau pada 11 November dalam posting Facebook beliau yang menyentuh mengenai Dr Kamarul adalah Muhammad Al Hanif Mah Hassan.
Antara lainnya posting Facebook Muhammad Al Hanif itu mendakwa Dr Kamarul sebagai:
(i) seorang yang tidak boleh dipercayai;
(ii) seorang yang membuat posting Facebook yang mempertikaikan kehadiran Raja Muda Perlis dalam satu acara bersama Steven Sim dan memadamkannya; dan
(iii) seorang yang memfitnah penerima bantuan motosikal daripada Steven Sim.
Ketika dihubungi, peguam Dr Kamarul, Mohd Harris Mohan Abdullah dari The Law Office of Mohd Harris, Raub, mengesahkan permohonan maaf Jamzuri kepada Dr Kamarul melalui sesi mediasi sebelum bicara penuh dimulakan hari ini.
“Dr Kamarul sangat teruja dengan perkembangan ini dan sekarang ini kami mahu lebih fokus kepada beberapa kes besar yang sedang saya kendalikan, termasuk saman-saman beliau terhadap Khalid Samad, Hanipa Maidin, Lim Guan Eng, Hannah Yeoh, Steven Sim dan Datuk Kadir Jasin.”
“Selain itu, seorang lagi peguam, iaitu Faidhur Rahman Abdul Hadi juga sedang mengendalikan kes-kes saman beliau terhadap 6 pemimpin besar DAP lain, iaitu Lim Kit Siang, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh dan Dr Ramasamy.”
“Kami menaruh keyakinan tinggi kami akan memenangi sebahagian besar daripada kes-kes saman ini seterusnya memulihkan balik imej dan kewibawaan Dr Kamarul yang selama ini cuba dicemar oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Mohd Harris.