• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Parlimen Malaysia Memerlukan Lebih Ramai Ahli Seperti MP Pasir Mas

Spread the love

Semalam (13 Julai 2020), parlimen Malaysia ditelah ramai seumpama sarkas dalam zoo perang. Alhamdulillah petang tadi, suasananya tidak sama. Berbeza terutama apabila MP Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli Shaari bangun berucap selama 1 jam 8 minit menyokong Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14.

Ucapan MP Pasir Mas tersusun, lancar dan tenang disulami hujah fakta tanpa bergantung kepada teks. Lihatlah betapa santunnya beliau melayani pertanyaan dan provokasi MP-MP pembangkang. Walaupun masa suntuk dan sesetengahnya lebih kepada soalan mengganggu, beliau memberi peluang kepada seorang demi seorang. Jawapannya jelas, padat dan terus kepada rasional pertanyaan.

Sepanjang ucapan beliau, seramai 14 MP bangun mencelah yang semuanya daripada pihak lawan, kecuali seorang. Setiap MP Pakatan Harapan (PH) Plus ada wakil walaupun soalan tersasar. Ramai pula bangun lebih daripada sekali, terutama MP Jelutong sebanyak 8 kali walaupun tanpa izin. Malah, isu pencelahan MP Jelutong, MP Shah Alam, MP Sepang dan MP Kuala Selangor adalah di luar topik perbahasan. Walaupun begitu MP Pasir Mas muda ini tetap sabar, matang dan melayaninya.

Mencari di internet, rupanya MP Pasir Mas yang juga Timb. Ketua Pemuda PAS Malaysia adalah juara pemidato zaman sekolah. Beliau juga graduan terawal Maahad Tahfiz Pulai Chondong dan pemegang diploma tahfiz Darul Quran JAKIM 1999 sebelum ke Universiti al-Azhar, Mesir. Malah, beliau insan terpilih di sisi almarhum Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas Menteri Besar Kelantan sebagai Setiausaha Akhbarnya pada 2010 hingga 2014.

Kemunculan beliau petang ini berjaya melenyapkan sangkaan buruk saya dan ramai pihak tentang hiruk-pikuk di parlimen. Lihatlah tragedi semalam. Speaker Parlimen dihina. Parlimen tercemar dengan pelbagai kalimah kotor termasuk ‘barua’ dan ‘bodoh’. Patutlah hari ini MP Arau bangun memohon pencerahan tentang perkataan ‘barua’ adakah dibenarkan atau tidak, sebab dalam Parlimen ahlinya sendiri telah ‘membaruakan’ banyak kali.

Saya belum membaca hansard parlimen . Namun, meneliti video rakaman di YouTube, tragedi semalam amat mendukacitakan. Ramai MP terutamanya daripada Parti DAP dan Amanah tidak menonjolkan sikap adab yang demokratik serta rahmah. Keamanan dan ketertiban mesyuarat Parlimen hanya muncul apabila MP, terutamanya MP Shah Alam diarahkan keluar daripada dewan oleh Speaker.

Hal ini membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Dewan Rakyat Parlimen Malaysia mungkin aman jika MP-MP berakhlak sebegini ditunjukkan ‘jalan keluar’ dalam PRU-15 nanti? Percayalah, sesi Parlimen baharu kita memerlukan lebih ramai MP seperti MP Pasir Mas. Berbicara untuk rakyat. Berbicara daripada lubuk hati bukan daripada emosi.

Dr Nabila Din

Shah Alam

14 Julai 2020, 10.00pm