Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid, tiada siapa yang boleh menyangkal kewibawaan PAS dalam membantu rakyat di kala mereka tersepit dan hilang punca pendapatan.
“Ketika dilanda sebarang bencana yang memeritkan, parti politik lain turut mengakui kehebatan PAS dalam keadaan mereka berpeluk tubuh melihat dari jauh kesungguhan PAS.
“Entiti yang berkait rapat dengan kumpulan sasar rakyat ini wajar diperkasakan terutamanya Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, HALWA serta Khidmat Malaysia,” ujarnya semasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Sandakan, di sini kelmarin.
Tambahnya lagi, kebanyakan rakyat bawahan melihat PAS melalui aktiviti kebajikan yang dianjurkan oleh PAS melalui lajnah berkenaan.
Oleh itu, katanya perancangan dan susun atur program kebajikan mestilah lebih efisyen bagi mencapai keberkesanannya.
Sahar turut memaklumkan, rakyat sentiasa mengingati pihak yang menolong mereka walaupun dengan hanya sekampit beras, sekilo gula, sebungkus tepung, sepapan kayu dan roti.
Oleh itu sewajarnya kata beliau Lajnah Kebajikan, Halwa dan Khidmat Malaysia perlu sentiasa berganding bahu melakukan sesuatu untuk menggerakkan kesatuan ini.
Beliau turut mengingatkan supaya ahli berusaha dengan apa cara sekalipun untuk menjayakan setiap perancangan membantu rakyat asalkan halal dan dibenarkan oleh syarak. – HARAKAHDAILY