• Fri. Mar 1st, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PAS dan Kerajaan Persekutuan 1973-1977: Penglibatan dalam kabinet

Spread the love

PENYERTAAN PAS dalam Kerajaan Persekutuan di bawah Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Mac 2020 mendapat banyak reaksi dari pelbagai pihak. Dengan mengenepikan seluruh reaksi tersebut, adalah perlu diperjelaskan bahawa PAS pernah berpengalaman memegang pelbagai kementerian pusat ketika menyertai Kerajaan Campuran PAS-Perikatan (1973-1974) dan Barisan Nasional (1974-1977).

PAS bukan sahaja memberi fokus kepada kementerian yang menjaga urusan agama, bahkan PAS pernah memimpin kementerian yang menjaga alam sekitar melalui Cikgu Mustafa Ali yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada 14 April 1977.

Latar Belakang

Secara latar belakangnya, akibat krisis politik perkauman pada 13 Mei 1969, PAS telah mengadakan kerjasama politik dengan Perikatan untuk mengukuhkan semula politik Melayu Islam yang terjejas ketika itu. Pada 1 Januari 1973, dibentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan (Umno, MCA dan MIC).

Ia diikuti pula oleh penubuhan Barisan Nasional (BN) pada 1 Jun 1974 yang disertai oleh sembilan buah parti termasuk Gerakan, PPP, SUPP, PBB dan Perikatan Sabah (Usno dan SCA). BN yang menyertai Pilihan Raya Umum pada 24 Ogos 1974 telah berjaya mengukuhkan semula Kerajaan Persekutuan melalui politik perpaduan ini.

PAS dalam Kabinet

Penglibatan PAS dalam Kabinet Persekutuan berlaku secara berperingkat melibatkan lima perubahan politik iaitu:

1- Pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973. PAS mendapat satu jawatan Menteri dan satu Setiausaha Parlimen.

2- Kematian Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman pada 2 Ogos 1973, yang menyebabkan berlaku rombakan Kabinet pada 13 Ogos 1973 dan PAS mendapat tambahan seorang Timbalan Menteri.

3- Pilihan Raya Umum Keempat pada 24 Ogos 1974 menyaksikan Kabinet baru Tun Abdul Razak Hussein dengan PAS mendapat seorang Menteri, dua orang Timbalan Menteri dan seorang Setiausaha Parlimen.

4- Kematian mengejut Tun Abdul Razak pada 14 Januari 1976 telah menyebabkan Perdana Menteri baru, Dato’ Hussein Onn membentuk Kabinet baru pada 5 Mac 1976. PAS mendapat dua orang Menteri, seorang Timbalan Menteri dan dua orang Setiausaha Parlimen.

5- Bagi mengukuhkan kerajaan, pada 14 April 1977, Dato’ Hussein Onn telah membuat rombakan Kabinet di mana PAS mendapat tambahan seorang lagi Timbalan Menteri.

Anggota Kabinet dari PAS

Pimpinan PAS yang pernah dilantik sebagai anggota Kabinet Persekutuan adalah seperti berikut:

1- Dato Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS
» Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas (1 Januari 1973 – 4 September 1974)
» Menteri Tanah dan Galian dan Tugas-tugas Khas (5 September 1974 – 4 Mac 1976)
» Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah (5 Mac 1976 – 8 November 1977)

2- Datuk Hassan Adli Mohd Arshad, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS
» Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat (5 September 1974 – 4 Mac 1976)
» Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan (5 Mac 1976 – 8 Julai 1978)

3- Ustaz Dato’ Abu Bakar Umar, Naib Yang Dipertua Agung PAS
» Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Perikanan (mulai Mei 1974, tetapi perlantikan ditangguhkan kerana pembubaran Parlimen)
» Timbalan Menteri Kesihatan (5 September 1974 – 8 November 1977)

4- Ustaz Haji Yusof Rawa, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS
» Timbalan Menteri Perusahaan Utama (13 Ogos 1973 – 24 Ogos 1974)
» Duta Besar Malaysia Ke Iran dan Turki di Tehran (1974-1978)

5- Cikgu Mustafa Ali, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
» Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (5 September 1974 – 13 April 1977)
» Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (14 April 1977 – 8 November 1977)

6- Senator Ustaz Abu Bakar Hamzah, Naib Yang Dipertua Agung PAS merangkap Setiausaha Agung PAS
» Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (1 Januari 1973 – 12 Ogos 1973)
» Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Ekonomi Desa (13 Ogos 1973 – 9 September 1973)
» Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Perikanan (10 September 1973 – 14 Mei 1974)

7- Haji Zahari Awang, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS
» Setiausaha Parlimen Kementerian Luar (5 Mac 1976 – 7 Jun 1976)
» Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kemajuan Perkampungan (8 Jun 1976 – 8 November 1977)

8. Ustaz Abdul Wahab Yunus, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS
» Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan (14 April 1977 – 8 November 1977)

Selain menduduki Kabinet Persekutuan, ekoran kerjasama politik ini, PAS turut menyertai kerajaan negeri sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) di Kedah, Terengganu, Perak, Perlis dan Pulau Pinang, selain menguasai Kerajaan Kelantan semenjak 1959. Pimpinan PAS yang dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:

A. Kedah

1- Ustaz Dato’ Abu Bakar Umar (7 Januari 1973 – 3 Mei 1974)
2- Haji Ismail Kassim (7 Januari 1973 – 13 Disember 1977)
3- Ustaz Harun Jusoh (9 Jun 1974 – 24 Ogos 1974)
4- Dato’ Sudin Wahab (9 September 1974 – 13 Disember 1977)

B. Terengganu

1- Ustaz Omar Shukri Embong (6 Januari 1973 – 24 Ogos 1974)
2- Ustaz Kassim Ahmad (6 Januari 1973 – 24 Ogos 1974)
3- Ustaz Harun Jusoh (12 September 1974 – 13 Disember 1977)
4- Ustaz Awang Abu Bakar (12 September 1974 – 13 Disember 1977)

C. Perak

1- Ustaz Mohamed Junid (5 September 1974 – 13 Disember 1977)

D. Perlis

1- Ustaz Haji Ahmad Long (12 September 1976 – 13 Disember 1977)

E. Pulau Pinang

1- Ustaz Haji Zabidi Ali (19 April 1977 – 13 Disember 1977)

PAS disingkir dari BN

Ekoran krisis politik Kelantan yang berkemuncak pada 1977, Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk mendaruratkan Kelantan melalui Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977. PAS yang tidak bersetuju dengan keputusan ini, pada 6 November 1977 telah memutuskan supaya semua Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen PAS meletakkan jawatan selepas Mesyuarat Kabinet pada 8 November 1977 dan hendaklah menentang rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat pada 8-9 November 1977.

Ekoran itu, Majlis Tertinggi BN pada 13 Disember 1977 telah mengarahkan PAS memecat ahli-ahli parlimennya yang menentang rang undang-undang itu atau jika tidak, PAS terpecat dari BN. PAS pada 14 Disember 1977 mengambil kesimpulan bahawa keputusan Majlis Tertinggi BN itu bermaksud PAS telah dipecat dari pakatan politik tersebut. Sejak 13 Disember 1977, PAS bukan lagi komponen BN dan tidak lagi menyertai Kerajaan Persekutuan sehingga 9 Mac 2020.

Mohd Fadli Ghani