• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PAS gesa Menteri jelaskan situasi sebenar Covid-19 di Malaysia

Jan 4, 2023
Spread the love

SHAH ALAM – Pas menggesa Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa supaya tampil memberi penjelasan menyeluruh mengenai situasi sebenar potensi ancaman penularan Covid-19 di Malaysia bagi mengelakkan persepsi yang tidak benar.

Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin berkata, tindakan ini perlu dibuat bagi mengurangkan kebimbangan berikutan beberapa negara lain telah mengambil langkah awal untuk mengekang berlakunya penularan wabak tersebut.

“Tindakan negara China mengutuk dan mengancam tindak balas terhadap negara-negara yang mengenakan syarat ujian baharu Covid-19 terhadap warganegaranya susulan lonjakan kes harus diberi perhatian serius oleh kerajaan Malaysia.

“Tambahan lagi, maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak terperinci berbanding realiti di China yang digambarkan semakin serius,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Situasi wabak membawa maut itu di China menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan selepas bertahun-tahun mengenakan sekatan ketat menerusi dasar sifar Covid-19 dan ia dilonggarkan secara tiba-tiba bulan lalu.

Disember tahun lalu, Beijing mengumumkan pengembara ‘inbound’ tidak perlu lagi dikuarantin, menyebabkan ramai warganya merancang perjalanan ke luar negara.

Dilaporkan, beberapa negara luar termasuk Jepun akan mewajibkan ujian saringan Covid-19 bagi ketibaan pelancong dari tanah besar China mulai Jumaat lalu.