OKTOBERFEST : FESTIVAL PROMOSI ARAK?
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ.
Mafhumnya : “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
اِنَّمَا يُرِيْدُ الشَّيْطٰنُ اَنْ يُّوْقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاۤءَ فِى الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللّٰهِ وَعَنِ الصَّلٰوةِ فَهَلْ اَنْتُمْ مُّنْتَهُوْنَ.
Mafhumnya : “Hanya syaitan menghendaki sesuatu yang menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan meminum arak dan berjudi, juga menghalang kamu dari mengingati Allah dan melaksanakan solat, maka tidakkah kamu mahu berhenti (daripada minum arak dan berjudi)?
Surah Al-Maa’idah : 90 dan 91
Allah SWT mengingatkan kepada manusia akan keburukan arak dan judi. Akal manusia yang normal kewarasannya juga mengakui kebenaran perkhabaran daripada Al-Qur’an itu, arak dan judi boleh mengakibatkan permusuhan, pergaduhan, kebencian dan perpecahan di dalam masyarakat. Juga menyebabkan manusia leka dari mengingati Allah dan meninggalkan solat.
Apabila akal manusia di bawah pengaruh alkohol (arak) dan tidak waras maka tiada yang mustahil untuk mereka lakukan apa sahaja. Perkara yang diluar batas kemanusiaan, kes pemandu mabuk sehingga mengakibatkan kematian, perbalahan berlaku di dalam masyarakat adalah antaranya berpunca daripada meminum arak.
Walaupun Islam tidak melarang masyarakat bukan Islam daripada meminum arak jika minuman beralkohol itu tidak dilarang dalam agama mereka, namun tatacara meminum arak ditetapkan di dalam Islam.
Orang bukan Islam boleh menjual dan meminum arak di tempat khas yang tertutup agar tidak mempengaruhi orang Islam khususnya untuk mengambil arak.Mereka boleh meminum arak di rumah atau di tempat yang dikhaskan. Semua ini diatur dengan rapi agar kesan buruk arak tidak terkena kepada orang lain dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
Oktoberfest adalah festival dan pesta besar-besaran arak. Pastinya ia akan menjadi medan untuk mempromosi arak secara terbuka yang juga mungkin boleh memberikan kesan negatif kepada umat Islam terutamanya generasi muda, juga boleh membangkitkan sensitiviti agama.
Justeru penganjuran Oktoberfest adalah bercanggah dengan hak Islam sebagai agama persekutuan dan dalam masa yang sama ianya pasti mengundang kemurkaan Allah SWT.
Justeru PAS Johor secara tegas membantah penganjuran Oktoberfest dalam negara Malaysia tercinta ini dan berharap pihak berkuasa tempatan bersama kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya agar ianya tidak berlaku.
‘Islam Adil Untuk Semua’
Abu Irfan Muhammad Al-Urduni,
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor.
6 Muharram 1444
4 Ogos 2022