• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PAS kini menjadi pilihan utama rakyat Malaysia

Dec 7, 2022
Spread the love

Berdasarkan analisis yang dikeluarkan oleh Bridget Welsh, PAS bersama PN mendapat undi majoriti Melayu dengan 54 peratus.

Sedangkan Pakatan Harapan hanya meraih 11 peratus sahaja undi Melayu di seluruh negara.

Tindakan DS Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan kadar cabutan khas judi daripada 22 kali ke 8 kali dengan berulang kali menyebut Perikatan Nasional dalam ucapannya, kelihatannya beliau cuba untuk mensasarkan tarikan serta cuba menjadi relevan di kalangan umat Melayu-Islam di Malaysia.

Isu judi bukanlah isu picisan. Isu ini sangat menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam kerana kegiatan judi merupakan satu dosa besar dan ibu kerosakan sesebuah masyarakat.

Berhubung kenyataan sinikal DS Anwar Ibrahim menyerang Perikatan Nasional perihal saluran dana politik oleh tauke-tauke judi ini sebenarnya perlu dilihat pada mesej utamanya iaitu keuntungan yang diperoleh oleh tauke-tauke judi ini begitu tinggi sehinggakan mereka mampu menaja parti-parti politik. Perkara ini perlu diberi perhatian dan diselidiki secara serius.

Malah, perkara ini bukan sesuatu perkara yang baru. Datuk Nallakaruppan yang merupakan bekas pengarah Magnum pernah mendakwa telah memberi sokongan kepada DS Anwar Ibrahim ketika DS Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.

Amat baik sekiranya isu-isu ini diselesaikan dengan setiap negeri PH-BN mengikut jejak langkah negeri-negeri PAS/PN yang telah mengharamkan terus penggunaan premis untuk kegiatan judi. Pastinya perkara ini akan menarik sokongan lebih tinggi pengundi Melayu-Islam kepada pihak kerajaan.

Malah, PAS juga menawarkan diri membantu negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan dalam kaedah pelaksanaan polisi pengharaman judi sepertimana yang dilaksanakan di negeri-negeri bawah pentadbiran PAS/PN.

YB Ustaz Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad
Naib Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat