• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PAS persoal, kenapa tak siasat PH yang berbelanja besar

Mar 2, 2023
Spread the love

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dijalankan secara telus dan tidak mensasarkan parti pembangkang yang dilihat bermotifkan politik, kata PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan langkah SPRM yang menyiasat dana melibatkan parti tertentu sehingga akaun dibeku, walhal parti lain khususnya daripada Pakatan Harapan (PH) juga turut menerima dana politik untuk membiayai belanja kempen pilihan raya.

“Sebagai contohnya, akaun UMNO suatu masa dahulu terdapat RM114 juta dan akhirnya apabila SPRM mendapati tidak ada kes berkaitan ia diberikan semula kepada parti berkenaan.

“Apabila wang yang masuk ke dalam akaun parti mestilah duit yang diperoleh daripada sumber yang sah termasuklah sumbangan daripada orang ramai, mahupun ahli.

“Di Malaysia tidak ada undang-undang yang berkaitan dengan dana politik dan sesiapa saja boleh memberi sumbangan kepada mana-mana parti politik,” katanya dipetik laporan BH.

Jelasnya lagi, jika hendak semak kewangan parti, ia perlu dilakukan ke atas semua parti kerana pada pilihan raya semuanya menggunakan wang.

“Dari mana mereka (parti) mendapat wang untuk membuat poster, mengadakan ceramah atau aktiviti berkaitan dan ia tentulah usaha daripada parti itu sendiri untuk mendapatkan kewangan bagi parti masing-masing,” katanya.

Takiyuddin berkata, setiap bulan PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat bagi membentangkan penyata kewangan iaitu berapa banyak wang yang diterima dan dibelanjakan.

“Dulu kita pernah dituduh menerima RM90 juta, tetapi akhirnya SPRM mengesahkan tidak ada bukti wang masuk ke dalam akaun dan itu adalah satu tohmahan politik yang tidak berasas.

“Jadi saya yakin dalam isu Bersatu duit yang diperoleh adalah daripada penyokong ahli parti berkenaan.

“Terdapat proses undang-undang bagaimana hendak mendapatkan kembali wang daripada disita atau dibekukan oleh pihak SPRM,” katanya lagi.

Pemimpin parti Bersatu menjadi sasaran siasatan SPRM berhubung dana parti tersebut, tetapi tiada tindakan diambil terhadap laporan yang dibuat membabitkan perbelanjaan parti dalam PH sebelum ini walaupun terdapat laporan sudah dibuat.

Terdahulu, SPRM pada Januari dilapor membekukan beberapa akaun milik Bersatu susulan siasatan kes itu.