• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PAS putuskan UMNO rakan ta’awun demi agenda penyatuan ummah

Sep 11, 2022
Spread the love

KENYATAAN MEDIA
PAS DAN UMNO RAKAN TA’AWUN AGENDA PERPADUAN UMMAH

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bermesyuarat pada hari ini memutuskan terus konsisten dan komited dengan agenda Penyatuan Ummah yang menjadi paksi utama kepada perpaduan nasional di antara orang Melayu-Islam, kaum Bumiputra dan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Keadaan ini sekaligus akan menjadi formula utama ke arah kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Justeru itu PAS kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan Penyatuan Ummah termasuk UMNO sebagai Rakan Ta’awun terutama dalam membina negara yang baik dan diredhai Tuhan. Ini adalah selaras dengan tuntutan Allah dalam Surat al-Maidah ayat 2 yang bermaksud “… Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan…”.

Sehubungan itu, PAS akan terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan bersama semua rakan-rakan Ta’awun dengan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan sebarang jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat jelata. Ini adalah juga selaras dengan usul yang dibawa oleh Dewan Ulamak PAS Pusat dan disokong sebulat suara dalam Muktamar PAS Ke-68 di Alor Setar baru-baru ini.

PAS juga tetap dengan penegasan tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan tidak menerima konsep “Khemah Besar” tajaan mana-mana pihak sekalipun dalam menghadapi PRU15 ini.

PAS amat yakin hanya dengan perpaduan di antara parti-parti Melayu-Islam sahaja akan dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya seterusnya akan diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu sejarah hitam lampau berulang kembali.

“MALAYSIA SEJAHTERA”

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 14 Safar 1444 / 11 September 2022