PAS Cawangan Seksyen 13, Shah Alam baru-baru ini berjaya menyertai ekspedisi mendaki Gunung Ledang. Ekspedisi yang dianjurkan oleh Hikers Harimau Malaya tersebut diadakan pada 4 dan 5 Februari 2022 disertai oleh 38 orang, termasuklah 10 peserta perempuan. Peserta yang datang daripada seluruh negara turut disertai tujuh orang ‘guides’ bagi membantu pendakian.
Menurut Naib Ketua Cawangan Hj. Md Uslim Hamidon, ekspedisi tersebut merupakan antara aktiviti luaran yang dirancang untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli serta dengan pihak luar. Aktiviti program bermula selepas Solat Subuh dan sarapan pagi di hostel kaki gunung. Kemudian peserta bergerak ke Pos Pendaftaran Asahan untuk pendaftaran. Setelah selesai, Ketua ‘Guide’ memberi taklimat kepada peserta tentang peraturan pendakian termasuklah perkara yang dibenar dan dilarang semasa mendaki.
Tepat jam 8.30 pagi, ekspedisi pendakian dimulakan. Semua peserta berjaya tiba di dua hentian pada masa yang ditetapkan, iaitu di CP3 (Hentian Unggas) pada jam 10.00 pagi dan CP6 (Padang Batu) sejam kemudian. Peserta mengambil peluang mengisi bekalan air, berehat di samping bergambar sebagai kenang-kenangan. Untuk rekod, hentian CP6 adalah ‘landmark point’ untuk memastikan kumpulan sama ada dalam keadaan sesuai untuk meneruskan pendakian dengan had masa ketibaan selewat-lewatnya jam 12.00 tengah hari.
Perjalanan diteruskan dan semua peserta tiba di puncak gunung kira-kira jam 1.00 petang. Masa diberikan sekitar sejam untuk berehat dan melakukan aktiviti persendirian termasuklah mengambil gambar permandangan cantik dari kaca mata gunung tersebut. Sepanjang pendakian, peserta diuji keadaan hujan renyai-renyai dan kekadang menjadi lebat sedikit.
Setelah selesai menghilangkan keletihan, peserta kemudian memulakan pergerakan untuk menuruni gunung. Pergerakan lancar dan singgah di Pos Padang Batu pada jam 3.00 petang untuk mengisi air serta menunaikan Solat Zohor. Pergerakan menuruni gunung diteruskan selepas itu hinggalah peserta mulai tiba di Pos Pendaftaran Asahan pada jam 5.30 petang. Setelah membuat pendaftaran keluar, peserta menunaikan Solat Maghrib dan seterusnya bergerak pulang ke rumah masing-masing.
Bagi Hj. Mohd Sanip Othman, Setiausaha Cawangan yang turut serta dalam ekspedisi tersebut, beliau sangat berterima kasih kepada penganjur dan semua peserta ahli PAS Seksyen 13 yang turut hadir menyertai program tersebut. Kerjasama dengan pelbagai pihak luar dalam program tersebut secara langsung mempekenalkan jamaah PAS kepada mereka. Beliau berharap program sebegitu diteruskan pada masa akan datang serta melibatkan lebih banyak cawangan dan kawasan PAS. (Media Fastaqim)