• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PAS Selangor desak NST buat permohonan maaf

Mar 29, 2023
Spread the love

PAS Selangor mendesak akhbar New Straits Times membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan  yang didakwa menfitnah parti itu dan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Ia berhubung laporan akhbar tersebut bertajuk “PAS goes against Selangor Sultan saying Muslims can’t visit churches temples” yang dimuatnaik semalam.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata kenyataan media Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi pada 26 Mac lalu menyatakan parti itu menjunjung titah Sultan Selangor.

Katanya, ia berkenaan pernyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan larangan ke atas umat Islam untuk melawat rumah-rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, gereja dan gurdwara bagi maksud mempelajari kepercayaan lain.

“PAS Selangor di dalam kenyataan media tersebut sama sekali tidak menyebut larangan terhadap orang Islam untuk melawat gereja atau kuil selain bagi maksud mempelajari agama dan kepercayaan lain.

“Oleh itu PAS Selangor menegaskan laporan akhbar New Straits Times tersebut telah dibuat dengan niat tidak baik dengan tujuan untuk memburukkan imej dan nama baik Datuk Dr Ahmad Yunus  Hairi.

…merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N51 Sijangkang dan Ahli Parlimen P112 Kuala Langat dan dengan tujuan untuk menjejaskan hubungan baik beliau dengan pihak Istana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Roslan Shahir berkata PAS Selangor memohon pihak New Straits Times membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan tersebut dengan segera.

“PAS Selangor tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuntutan tersebut gagal dipatuhi,” katanya.