• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PAS tak jadi balaci DAP walaupun pernah diambang kuasa – Razman

Jun 27, 2023
Spread the love

BAGAN SERAI: PAS tidak mengamalkan politik ‘machiavelli’ yakni sanggup berbuat segalanya, termasuk perkara yang dilarang atau diharamkan oleh agama, mahupun jenayah demi mendapat atau mengukuhkan kuasa.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria menegaskan demikian sebagai menjawab tuduhan Presiden PAN, Mohamad Sabu yang mendakwa fatwa politik PAS sentiasa berubah dan menyeru ahli serta penyokong PAS untuk tidak takut mengubah undi mereka.

Menurut beliau, perkara tersebut dibuktikan apabila PAS sanggup ditinggalkan dan tidak bersama DAP sedangkan ketika persepakatan dahulu dan sekiranya diteruskan, mereka sudahpun berada di ambang kuasa.

“(Ia) Bila DAP minta PAS bersetuju atas perkara yang PAS tidak boleh bersetuju. (Ya) PAS (pernah) bersama DAP, tetapi (PAS tegas) tidak menjadi balaci DAP,” jelasnya menegaskan bahawa itulah prinsip politik PAS.

DAP secara khususnya telah dua kali meninggalkan persepakatan bersama PAS iaitu ketika Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) dahulu apabila tuntutan-tuntutan parti itu terhadap PAS gagal dipenuhi.

Antaranya berkaitan Dokumen Negara Islam, Rang Undang-undang (Persendirian) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan banyak lagi perkara berkaitan kepentingan Islam dan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Bahkan untuk menjayakan PAS sebagai platform bagi meraih sokongan undi Melayu, DAP menaja pemimpin tertentu bagi mengambil alih PAS, namun gagal menyebabkan mereka yang keluar dari PAS dan menubuhkan PAN.

PAS di sepanjang perjalanan politiknya sejak ditubuhkan hingga kini tidak pernah merubah dasar parti itu, kecuali pendekatan politik yang diolah berdasarkan keperluan atau situasi semasa, tetapi dalam kerangka diizinkan syarak.

“PAS mengajak Umno bersama dalam Muafakat Nasional dengan syarat tiada kluster mahkamah. Pertimbangan PAS adalah pada mudarat yang lebih ringan,” ujarnya mengukuhkan lagi keterangan mengenai prinsip PAS ketika bersama Umno.

Tegas beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol, kestabilan negara hanya akan diperoleh apabila diperintah oleh kaum majoriti, di mana ketidakstabilan kini adalah kerana gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dipengaruhi kehendak DAP. – HARAKAHDAILY