PAS tolak kerjasama dengan pemimpin dan parti politik yang mempunyai sifat melampau, oportunis dan mengundang pihak asing untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran negara.
Presidennya, Abdul Hadi Awang, berkata Fiqh politik Islam telah menetapkan, bahawa wajib ditegakkan kepimpinan Islam yang kukuh dengan asas perpaduan.
Abdul Hadi berkata PAS beristiqamah atas konsep kepimpinan yang mempunyai sahsiah dan melaksanakan misi perpaduan umat bermula dengan umat Islam sebagai tonggak kepimpinan.
“Dalam aspek politik kenegaraan, Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh keutamaan dalam agenda perpaduan umat apabila menyatukan umat Islam dalam kalangan Muhajirin, Ansor dan lain-lain yang menganut Islam terlebih dahulu.
“Termasuklah juga daripada kumpulan kecil dan individu yang memeluk Islam. Sehingga strategi yang dilakukan oleh Baginda SAW itu, berjaya menghapuskan kebanggaan diri sendiri, ‘asabiyyah keluarga, dan qabilah.
“Seterusnya agenda perpaduan umat disertai oleh golongan bukan Islam yang tidak ekstrem berasaskan konsep kemanusiaan yang sama. Meskipun wujud perbezaan agama dan bangsa kerana mereka menerima kewujudan konsep masyarakat majmuk. Namun, kepimpinan Islam itu wajib ditegakkan,” katanya dalam Minda Presiden PAS yang dikongsi dilaman Facebooknya di sini, sebentar tadi.
Dalam hal itu, Abdul Hadi berkata PAS tidak boleh bersendirian dengan menganggap kumpulannya saja yang mahu menegakkan Islam tanpa disertai kumpulan lain dalam kalangan umat Islam.
“Justeru, mereka yang menjadikan konsep perpaduan umat Islam secara tidak sempurna wajib ditolak kerana agenda mereka hanyalah untuk kepentingan diri sendiri atau keluarga, bahkan hanya untuk puak atau kepartian saja.
“PAS menolak kumpulan berjenama Islam yang tidak istiqamah sehingga mereka berkecamuk dengan bukan Islam yang nyata bermusuh dan tidak boleh dipercayai, namun kita boleh menerima golongan bukan Islam yang tidak ekstrim,” kata beliau melalui laman Facebooknya hari ini.
Abdul Hadi berkata, PAS berjaya menolak golongan pelampau yang membawa budaya takfir (mengkafirkan) terhadap penganut Islam, selain menggunakan pendekatan memperkenalkan ilmu mengenai batas iman dan kufur serta konsep bertafaqquh, khususnya fiqh dakwah dan fiqh politik bagi berdepan golongan itu.
Katanya, parti itu juga membatalkan tahaluf dengan pihak lain yang dilihat bermusuh dengan Islam secara langsung atau menentang agenda Islam, selain yang menentang secara tidak langsung dengan menjadi penghalang kepada pelaksanaan Islam.
“Kemunculan teori yang mengharamkan pilihan raya, munculnya Khalifah Islam baharu di Iraq dan fenomena Arab Spring yang terkenal adalah antara perkara yang dirancang atas nama jihad yang tidak berdasarkan kefahaman atau fiqh.
“Semua peristiwa itu mendapat liputan media asing yang dibangga-banggakan. Kita wajib mengambil iktibar terkini dan lebih berwaspada,” katanya.