PUTRAJAYA, 1 SEPT 2022 – Pegawai Khas Perdana Menteri (PM) hari ini (1 September 2022) membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam kerana didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dr Kamarul Zaman Yusoff membuat laporan polis itu di Balai Polis Presint 7 di Putrajaya pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Bercakap kepada media selepas membuat laporan polis, Kamarul Zaman mendakwa Lokman telah membuat fitnah terhadap PM menerusi satu siaran langsung Facebook mengenai kandungan “perjanjian” Ismail Sabri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kamarul Zaman yang juga pensyarah kanan di Pusat Kajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia menjadi pegawai khas PM sejak Disember tahun lalu.
Kes berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Daerah Sepang.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi mengesahkan terdapat laporan berkaitan kes berkenaan.