• Fri. Oct 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PEJUANG mohon sertai Perikatan Nasional

Mar 2, 2023
Spread the love

PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan parti itu telah memohon untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, surat permohonan sudah dihantar kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan surat sama telah disalinkan kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Timbalan Presiden gabungan tersebut, serta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

“Keputusan membuat permohonan ini telah disepakati oleh Majlis Eksekutif Pusat Pejuang (MEP) dua hari lalu setelah penelitian dan penilaian khusus semua opsyen-opsyen gabungan atau kerjasama politik yang ada.

“Ini adalah sesuai dengan mandat yang kami perolehi dari Perhimpunan Agung Pejuang kali ke-2,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mukhriz berkata, keputusan MEP adalah daripada pertimbangan berikut:

  1. Adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihanraya (electoral pact) diwujudkan hanya untuk tujuan mengelak dari pertindihan kerusi yang ditandingi, lebih-lebih lagi jika lambang berasingan digunakan oleh kedua-dua pihak yang berpakat.
  2. Lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN, dan bertanding menggunakan lambang PN. Setentunya ini bermakna kesepakatan Pejuang dengan PN itu tidak terhad hanya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung Jun 2023 ini, tetapi juga untuk jangka masa panjang.
  3. Penyertaan Pejuang sebagai anggota komponen PN adalah untuk memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihanraya yang mendatang.

Dalam masa sama, Mukhriz berharap agar kepimpinan PN akan mempertimbangkan dan memberi respon yang positif kepada permohonan Pejuang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Pejuang tewas di semua kerusi yang dipertandingkan.

Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal mendapat sebarang kerusi meskipun meletakkan calon di 125 kerusi.