• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Pelabur asing jual saham dua minggu berturut-turut

Sep 4, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjadi penjual bersih bagi minggu kedua berturut-turut dengan mencatat RM113.5 juta pada minggu dagangan singkat berakhir 1 September 2023.

Dalam Laporan Aliran Tunai pada minggu berkenaan, MIDF Research berkata pelabur asing membeli RM12.1 juta saham pada Isnin dan seterusnya RM53.6 juta pada Selasa dan membuat jualan bersih RM139.4 juta pada Rabu serta RM39.8 juta pada Jumaat.

Ia berkata, tiga sektor utama yang menarik aliran masuk dana asing bersih adalah hartanah (RM142.5 juta), pembinaan (RM40.4 juta) dan teknologi (RM30 juta).

“Pada masa sama, tiga sektor yang menyaksikan aliran keluar dana asing bagi minggu itu adalah penjagaan kesihatan (-RM144 juta); prduk dan perkhidmatan perindustrian (-RM82.2 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (-RM60.5 juta) yang menjadikan jualan bersih asing setakat tahun ini adalah sebanyak RM2.68 bilion,” katanya.

Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya ditutup pada Khamis lalu bersempena cuti umum Hari Kebangsaan.

Firma penyelidikan pasaran itu berkata, kalangan pelabur institusi tempatan terus mengekalkan kedudukan sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut dengan mencatat RM191.3 juta bagi minggu terbabit.

Cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkat,a pelabur tempatan membuat jualan bersih RM17.1 juta pada Selasa lalu namun menjadi pembeli bersih pada Isnin (RM40 juta), Rabu (RM103.5 juta) dan Jumaat (RM64.8 juta).

“Bagi tempoh setakat tahun ini, institusi tempatan telah membuat belian bersih ekuiti RM3.23 bilion di Bursa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata pelabur runcit tempatan juga kekal sebagai penjual bersih ekuiti tempatan minggu lalu pada RM77.8 juta

“Mereka hanya membeli bersih RM35.9 juta pada Rabu dan seterusnya menjadi penjual bersih pada Isnin (-RM52.1 juta), Selasa (-RM36.5 juta) dan Jumaat (-RM25 juta) yang menjadikan jualan bersih setakat tahun ini pada RM550.7 juta,” katanya.

Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata purata jumlah dagangan harian dalam kalangan pelabur asing, runcit dan institusi masing-masing meningkat sebanyak 94.3 peratus, 38.4 peratus dan 44.9 peratus.

Menurutnya, secara keseluruhannya, aliran keluar dana asing bersih di pasaran Asia adalah sebanyak AS$5.61 bilion pada Ogos, sekali gus mengakhiri aliran masuk asing bersih selama tiga bulan berturut-turut.

“Ini adalah jumlah aliran keluar bersih tertinggi sejak September 2022 yang mencatat aliran keluar bersih sebanyak AS$9.6 bilion,” katanya.

India dan Malaysia bagaimanapun terkecuali dengan aliran masuk bersih masing-masing pada AS$1.48 bilion dan AS$31.3 juta. BH