• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Pelabur asing jual saham sembilan minggu berturut-turut

Jun 19, 2023
Spread the love

PELABUR asing kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kesembilan berturut-turut di Bursa Malaysia dengan aliran keluar asing bersih berkurangan kepada RM189.4 juta berbanding RM443.8 juta pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

Dalam Laporan Aliran Dananya bagi minggu berakhir 16 Jun 2023, firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih pada sepanjang minggu tersebut kecuali pada hari Isnin apabila mereka memilih kaunter seperti Maybank (RM17.7 juta), RHB Bank (RM8.6 juta) dan YTL Corporation (RM8.5 juta).

Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah pengangkutan dan logistik (RM103.9 juta), pembinaan (RM28.4 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM14.3 juta).

Dalam pada itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM141.4 juta), perladangan (RM60.1 juta) serta produk perindustrian dan perkhidmatan (RM50.4 juta).

Sebaliknya, MIDF Research berkata, pelabur asing terus menjadi pembeli bersih ekuiti Asia untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan belian bersih sebanyak AS$3.04 bilion (AS$1=RM4.61).

“Satu-satunya negara yang mencatatkan aliran keluar ialah Indonesia, Thailand dan Malaysia,” katanya.

Menurut MIDF Research, pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM81.2 juta.

Setakat ini, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih ekuiti domestik selama 18 daripada 24 minggu, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM3.20 bilion.