• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Pelabur asing jual saham tempatan lima minggu berturutan

May 29, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Jualan bersih oleh pelabur asing di Bursa Malaysia memasuki minggu kelima berturut-turut dengan aliran keluar bersih asing berjumlah RM58.7 juta minggu lalu.

Namun begitu, jumlah berkenaan adalah kira-kira 3.6 kali lebih rendah berbanding RM211 juta pada minggu sebelumnya, kata MIDF Research hari ini.

Menurutnya, belian bersih pelabur asing berjumlah RM10 juta pada Isnin dan RM42.6 juta pada Jumaat tetapi jualan bersih direkodkan bermula Selasa hingga Khamis.

MIDF Research menambah, pelabur asing telah menjadi penjual bersih selama 15 daripada 21 minggu tahun ini, dengan jumlah aliran keluar asing bersih sebanyak RM2.45 bilion.

Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah pengangkutan dan logistik (RM103.8 juta), teknologi (RM58.6 juta) dan telekomunikasi dan media (RM50.4 juta).

Manakala, tiga sektor teratas yang memperlihatkan aliran keluar bersih asing ialah perkhidmatan kewangan (RM122.8 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM68.3 juta) dan REIT (RM21.9 juta).

Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula bertukar menjadi penjual bersih minggu lalu dengan sejumlah RM32.4 juta selepas empat minggu mencatatkan belian bersih.

Mereka hanya merekodkan belian bersih pada Selasa dengan sejumlah RM29.1 juta.

“Setakat tahun ini, pelabur institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 15 daripada 21 minggu, dengan jumlah belian bersih sebanyak RM2.41 bilion,” kata MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya, hari ini.

Peruncit tempatan mencatatkan belian bersih sebanyak RM91.1 juta minggu lalu selepas tiga minggu merekodkan jualan bersih. Setiap hari dagangan merupakan belian bersih untuk mereka kecuali Jumaat, dengan jualan bersih RM4.5 juta.

Setakat tahun ini juga, peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 10 daripada 21 minggu dengan jumlah belian bersih RM39.9 juta.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian secara menyeluruh iaitu peruncit (1.4 peratus), institusi tempatan (12.6 peratus) dan pelabur asing (18.2 peratus).

-BERNAMA