• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PEMBELA bantah kerajaan Madani tarik balik rayuan kes kalimah Allah

May 15, 2023
Spread the love

  1. Kami Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), yang mewakili lebih 70 Gabungan NGO dan NGO-NGO Islam, ingin menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan Kerajaan Madani di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim (PMX), menarik balik rayuan terhadap kes kalimah Allah di mahkamah.
  2. Tindakan Unilateral Kerajaan Madani di bawah PMX tanpa merujuk dan berunding dengan pemegang-pemegang taruh utama berkenaan isu melibatkan Islam iaitu Majlis Raja-Raja, Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan pihak-pihak berkepentingan Islam di dalam negara, dalam tindakan ini, ialah satu tindakan yang boleh dianggap melampau, tidak menghormati Institusi-Institusi yang lebih tinggi dari cabang eksekutif negara dan boleh mencetuskan keadaan yang tidak baik dalam negara.
  3. PEMBELA mengambil pendirian, tindakan PMX dan Kerajaan Madani ini satu tindakan melampau terbesar dan biadab dalam era pemerintahan yang tidak memperdulikan hak dan kesucian agama Islam sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan serta tidak menjaga kepentingan kepentingan majoriti umat islam di negara ini.
  4. PEMBELA juga ingin merakamkan kekesalan dengan peranan yang gagal dimainkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Islam yang mendukung kewujudan Kerajaan Madani ini untuk membantah serta menghalang tindakan Unilateral ini.
  5. PEMBELA menggesa Ahli-Ahli Parlimen Islam yang bermaruah di dalam Kerajaan dan Pembangkang untuk memberi tekanan yang wajar supaya tindakan Unilateral yang tidak menghormati Agama Islam, Perlembagaan dan Institusi yang telah bersumpah dan dipertanggungjawabkan untuk memeliharanya pada semua masa, ditarik balik.
  6. Kegagalan untuk Ahli-Ahli Parlimen Islam untuk menggesa Dato’Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penarikan balik pembatalan rayuan itu, harus dianggap sebagai KEGAGALAN UTAMA para Ahli-Ahli Parlimen ini dalam mempertahankan Agama Negara. Ia harus disusuli dengan tindakan-tindakan wajar sebagaimana yang harus dilakukan pihak yang gagal menjalankan tugas sepertimana yang diamanahkan.
  7. PEMBELA akan menggerakkan bantahan di peringkat NGO dan rakyat. PMX wajib arahkan Peguam Negara untuk menarik balik pembatalan rayuan Kes Kalimah Allah ini.

Mohd Aswanizam BIn Alias,
Setiausaha Agung,
Pertubuhan-Pertubuhan PEMBELA Islam (PEMBELA)