PEMIKIRAN GENIUS EKONOMI SANUSI JAUH LEBIH BERMANFAAT KEPADA RAKYAT BERBANDING RETORIK ANWAR DAN RAFIZI
Pergilah rata ceruk seluruh Kedah, ajaklah mereka bersembang bab negeri terutama mengenai MB depa. Sudah tentu jawapan yang sama akan dapat dikutip. Tak kiralah apa jua pegangan politik, baik lelaki mahu pun wanita, depa nak MB Sanusi kekal jadi MB depa.
Walaupun MB Kedah dikenali kononnya mulut capoilah, badutlah, kahaqlah tapi hat kahaq tu lah hat depa lagi hormat dan kagum dengan penampilan MB depa. Depa tau MB depa asai daripada keluarga miskin, budak buaih tapi mempunyai akhlak yang baik. MB Kedah diakui alim mampu menjadi imam masjid, serba boleh macam-macam dan juga berlatarbelakang pendidikan ketenteraan. Rakyat Kedah tidak terkejut pertikaman lidah antara MB dengan TMJ dalam bab bola pasai depa tau memang lagutulah kelaku orang Kedah, sembang kemaih dan deraih.
Hat sembang kemaih dan deraih nilah hat tiba-tiba boleh mengangkat Kedah dari sebuah negeri berstatus negeri miskin, negeri mundur dan kurang kemajuan kepada sebuah negeri yang pesat dengan ekonomi yang melonjak naik. Walaupun rata-rata orang Kedah mempunyai status berpendapatan rendah dengan pekerjaan tradisional seperti pesawah, penoreh getah, nelayan, penjaja kecil dan petani namun peningkatan ekonomi Kedah turut sama dirasakan dan kesusahan mereka turut mendapat pembelaan melalui pelbagai program kebajikan negeri Kedah.
Sekiranya Anwar merata tempat dia suka melaungkan betapa PH lebih baik daripada BN kerana mengurangkan cabutan judi daripada 22 kepada 8 kali, maka Sanusi jauh lebih berani dengan tindakan ekstrem beliau bukan dengan mengurangkan cabutan tetapi menutup terus kedai-kedai judi dan nombor ekor. Malah penjualan minuman keras juga beliau strukturkan semula dengan menghadkan kepada kedai-kedai tertentu yang diberikan lesen sahaja.
Walaupun beliau ditentang dan dibantah keras oleh pihak tokey-tokey yang berkepentingan malah dicemuh oleh pihak PH terutamanya musuh politik seperti PKR dan DAP, namun beliau berkeras dan bertegas dengan tindakan itu demi kebaikan rakyat Kedah yang beliau sayangi dan utamakan. Pelbagai ugutan dan ancaman berikutan tindakan itu namun jiwa keras dan darah tentera yang mengalir tidak sekali beliau berundur hatta rumah kediaman beliau disimbah cat sekalipun. Tindakan beliau ini sebenarnya telah mengurangkan hasil pendapatan Kedah namun beliau lebih takut kepada neraka Allah daripada segala apa ancaman dunia. Biar rugi sedikit ekonomi negeri agar Kedah diberkati Allah.
Ada rakyat yang mungkin akan tertawan dengan kata-kata manis Anwar untuk memotong gaji Perdana Menteri dan sekalian menteri kabinet untuk mengharungi cabaran ekonomi kini namun ketahuilah itu bukanlah tindakan wajar dan bijak malah ia sedikitpun tidak beri kesan yang baik terutama kepada ekonomi silap-silap habis kesemua gaji penjawat awam akan terkesan dipotong gaji. Sanusi sendiri pernah memotong gaji beliau dan barisan exco pada tahun 2021 malah gaji beliau selaku Presiden Kedah FA juga tidak diambil langsung.
Malah bagi penjawat-penjawat awam negeri tiada yang dipotong gaji malah bonus tahunan dibayar lebih banyak dua tahun berturut-turut mengatasi bayaran bonus kerajaan pusat. Tujuan beliau bagi menghargai jasa khidmat penjawat-penjawat awam negeri yang bertungkus lumus dan bersungguh membantu mengurus pentadbiran Kedah. Beliau turut menyelesaikan tunggakan gaji dan caruman badan berkanun serta hutang KFA pada 2020-2021 lebih RM 20 juta.
Sanusi bukanlah jenis pemimpin retorik dan temberang bila berkaitan pembangunan ekonomi negeri. Beliau adalah seorang pemimpin yang realistik dan dinamik. Beliau berjaya menarik nama-nama besar seperti Porsche, AT&S dan Petronas untuk melabur ke negeri Kedah. Beliau tekad membangunkan Kulim HiTech sebagai pusat industri Kedah. Maka tidaklah hairan dan mengejutkan apabila nilai pelaburan melonjak-lonjak naik dalam tempoh dua tahun perkhidmatan beliau sebagai MB.
Tuanku Sultan Kedah sendiri tampil menyampaikan pujian dalam titah baginda atas prestasi ekonomi cemerlang yang dicatatkan berjumlah RM68.3 bilion pada 2021 menjadi rekod tertinggi pernah dicatat kerajaan negeri Kedah. Pujian ini turut sama disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara atas prestasi luarbiasa Kedah mengatasi negeri-negeri lain.
Tatkala pemimpin seperti Rafizi sentiasa cakap besar dengan gula-gula penuh mulut untuk menghenti atau mengurangkan projek-projek mega sebagaimana PH lakukan semasa 22 bulan, Sanusi pula jauh berlawanan apabila tiada langsung projek mega dihentikan. Tindakan Sanusi malah lebih jauh melampau. Beliau seorang berpandangan jauh, berjiwa besar dan berfikiran luas. Beliau mempergiatkan lagi aktiviti pembangunan di Kedah.
Sanusi sedar untuk menggalakkan aktiviti ekonomi rakyat bawahan ia memerlukan usaha pembangunan ekonomi secara lebih meluas iaitu dengan menarik pelabur-pelabur luar dengan lebih banyak ke dalam negeri Kedah. Sudah tentu mana-mana pelabur luar inginkan sebuah negeri yang maju lengkap dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur bagi melancarkan segala aktiviti industri.
Justeru itulah Sanusi gigih menjayakan projek mega Kedah Aerotropolis iaitu projek membangunkan sebuah lapangan terbang kargo yang kelak akan memberikan manfaat kepada semua negeri-negeri di zon utara. Selain itu projek-projek mega yang berkaitan juga turut giat dibangunkan termasuklah Kedah Rubber City, SBEZ Bukit Kayu Hitam dan terbaru Hab Industri Petroleum Kedah di Yan. Inilah antara sebab KDNK Kedah berjaya mencapai 3.2% yang kelima tertinggi dalam Malaysia bagi 2021.
Sanusi juga tidak meminggirkan sektor pelancongan sebagai antara sumber hasil pendapatan kepada negeri. Kerana itulah saat ketika negara di hujung gelut pandemik covid-19, beliau dengan beraninya menjadikan Langkawi sebagai pusat pelancongan pertama negara yang membuka aktiviti kepada pelancong. Beliau benar-benar serius inginkan sektor pelancongan di seluruh Kedah terus aktif menarik pengunjung-pengunjung luar bagi meningkatkan aktiviti ekonomi rakyat Kedah.
Sanusi juga sedar ekonomi negara yang kukuh, tegap dan stabil amat bergantung kepada jaminan simpanan makanan negara. Justeru itu beliau tekad mengubah amalan penanaman padi yang biasa kepada amalan penanaman padi 5 kali setahun bagi meningkatkan hasil kepada negeri dan juga negara. Pada ketika ini Kedah menyumbangkan 43% padi dalam negara manakala 34% lagi diimport dari luar negara. Dengan peningkatan kemudahan seperti bantuan subsidi dan kemudahan pengairan beliau optimis cita-cita penanaman padi lima kali setahun dapat direalisasikan sekaligus mengurangkan pergantungan import yang akan mengurangkan belanja negara pada masa yang sama memberikan pendapatan lebih kepada pesawah dan petani rakyat bawahan.
Semua yang Sanusi lakukan adalah demi kebaikan rakyat beliau. Kerana itulah beliau juga tidak meminggirkan pembangunan dan kebajikan di tempat-tempat lawan atas alasan dendam dan marah kepada musuh politik beliau. Kasih sayang beliau kepada rakyat mengatasi rasa permusuhan politik. Tanyalah sendiri kepada penduduk kawasan pembangkang apakah mereka didiskriminasi atau dianak tiri jauh sekali dipinggirkan.
Ada pula yang menfitnah beliau mengaut hasil balak dengan meluluskan secara sulit atau secara diam-diam demi nak sakau masuk poket sendiri sebagaimana amalan BN dan PH. Sedangkan mereka tidak tahu sejak Sanusi menjejak kaki masuk ke Wisma Darulaman tiada seinci tanah Kedah pun beliau luluskan untuk tujuan pembalakan. Namun begitu hasil belanja hemah dan mengikut prosedur yang betul, hasil pendapatan negeri bertambah berkali ganda sehinggakan Kedah mampu menyimpan RM600 juta setahun rizab simpanan tetap mengatasi tahun-tahun sebelumnya.
Apa yang saban hari terlintas di fikiran dan benak hati beliau ialah apa lagi yang beliau harus lakukan untuk rakyat. Sudah cukupkah peluang pekerjaan, kebajikan, lawatan, bantuan dan segala program untuk rakyat. Kerana itulah beliau gigih wujudkan pelbagai peluang pekerjaan tahun demi tahun sehingga mencapai 150,000 menjelang 2035 khusus untuk anak Kedah kembali bersama-sama menabur bakti di negeri sendiri.
Banyak lagi dan jenuh panjang cerita kalau nak kisahkan usaha MB Kedah sedia ada ini. Itu baru ekonomi ala Sanusi, belum lagi bab pembangunan rohani, keluarga, pendidikan dan kebajikan yang menjadi perhatian dan ambil berat beliau dalam hal pembangunan modal insan. Cerita mudah, teruskan sokongan kepada Sanusi dan PAS di Kedah. Maka semua kemajuan ini dapat diteruskan.
Benar ada ura-ura permintaan rakyat negeri lain untuk mengangkat dan mengetengahkan Sanusi ke peringkat kerajaan pusat sebagai persediaan awal untuk menjadikan beliau bakal Perdana Menteri Malaysia. Namun percayalah rakyat Kedah belum bersedia dan sanggup melepaskan pemimpin muda ini untuk dikongsikan dengan negeri lain. Kedah sangat perlukan Laksamana Pertama (Kehormat) TLDM, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk terus memimpin negeri pada masa ini.
Bak kata beliau, Kedah “Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti”. Kata-kata ini sudah cukup berikan gambaran betapa dekatnya beliau dengan rakyat. Yakinilah bahawa lebai seperti Sanusi adalah model pemimpin negara yang rakyat damba-dambakan.
Sempena PRN ini, ayuh anak-anak muda sokong dan undilah calon-calon individu seperti Dato Seri Sanusi. Pilihlah individu bersih, integriti dan jujur demi kepentingan rakyat. Tolak dan jauhilah individu rasuah serta suka berikan janji retorik dan temberang.
Ditulis oleh
Abu Fateh
28 Oktober 2022
(edit 10 Jun 2023)