• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Pemilihan Najwan Halimi bertanding DUN Kota Anggerik mengecewakan banyak pihak – AMK

Jul 24, 2023
Spread the love

SHAH ALAM – Pemilihan Mohd Najwan Halimi sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecewakan ramai pihak selain didakwa bakal memberi gambaran buruk kepada parti itu.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, V Jisnukvitran berpandangan, pengumuman mengenai Mohd Najwan menimbulkan pandangan negatif terhadap PKR seolah-olah parti itu tidak berupaya mempertahankan kaum India dalam menegakkan keadilan dan kesaksamaan.

Beliau beranggapan parti telah mengambil perhatian tentang isu hantaran kurang sopan bersifat perkauman sebelum ini dan mengambil tindakan tegas terhadapnya.

“Pengumuman Mohd Najwan sebagai calon telah mendedahkan parti dalam gambaran buruk seolah-olah PKR tidak mampu mempertahankan golongan minoriti terutamanya kaum India di Selangor.

“Ini bertentangan dengan visi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Malaysia Madani yang menyatukan seluruh rakyat di bawah ideologi ini,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sinar Harian pada 15 Julai melaporkan, Mohd Najwan didakwa melanggar etika anggota perlembagaan PKR susulan tindakan beliau membuat hantaran kurang sopan bersifat perkauman terhadap calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), M Sivaranjani yang mewakili DUN Meru dalam satu grup WhatsApp.

Mohd Najwan tampil memaklumkan beliau turut mengambil maklum penularan tangkap layar tersebut selain membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi platform sama.

Dalam pada itu, Jisnukvitran meminta supaya pimpinan parti mempertimbangkan semula keputusan mengiktiraf Mohd Najwan sebagai calon bagi kerusi DUN berkenaan.

Jelasnya, PKR perlu bertegas menentang sebarang bentuk perkauman dalam jajaran parti dan memberi keutamaan kepada kepentingan serta hak rakyat, terutamanya golongan minoriti.

“Ia penting bagi parti untuk mengambil tindakan tegas soal perkauman. Negara ini merangkumi kepelbagaian yang mana setiap warganegara dihargai dan diperlakukan secara adil tanpa mengira etnik.

“Sebagai pemimpin Belia India PKR Selangor, kami menuntut akauntabiliti dan ketelusan dalam menangani isu ini serta dedikasi terhadap visi negara yang bersatu serta inklusif,” katanya.