Selepas Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji serta Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari meminta kerajaan tidak campur tangan dalam acara kebudayaan orang bukan Islam, kini giliran Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menyatakan perkara sama.
Menurut Sheikh Umar, sebagai Muslim, Islam mengajar penganutnya untuk menjauhi arak dan perkara yang memabukkan.
Namun pada masa sama, katanya, beliau percaya setiap agama lain ada ajaran serta garis panduannya yang tersendiri sama ada membenarkan atau melarang.
“Di Malaysia, Islam merupakan agama rasmi Persekutuan tanpa merendah-rendahkan agama dan kepercayaan yang lain.
“Agama lain boleh diamalkan dengan selamat dan sejahtera sesuai dengan kemajmukan kita. Inilah semangat Perlembagaan.
“Malaysia sepatutnya berbangga kerana sejak bertahun-tahun Octoberfest dianjurkan di negara ini, ia dilaksanakan dengan penuh etika dan mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan.
Sheikh Umar yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat menambah, sebagai negara dengan jolokan ‘Islam’, Malaysia telah mempamer toleransi serta interaksi dalam kepelbagaiannya.
“Dari sini, lahirlah sikap saling menghormati. Islam dalam sebuah Malaysia yang berbilang agama dan budaya tidak wajar disemai menerusi ancaman serta paksaan tak berasas keatas rakyatnya. Ia hanya akan membuahkan kebencian serta prejudis antara satu sama lain.
“Pendekatan Malaysia sepatutnya menjadi suri tauladan kepada negara-negara lain di dunia khususnya dalam konteks negara moden hari ini,” katanya lagi.
Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata, perbuatan menjadikan minuman arak sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan.
Menurut beliau, penganjuran acara itu boleh mencetuskan masalah sosial dan menjejaskan keharmonian serta keselamatan orang ramai.
Susulan itu, Tengku Zulpuri menasihatkan Idris supaya tidak campur tangan dalam acara kebudayaan orang bukan Islam.
“Saya sebagai Ahli Parlimen beragama Islam akur bahawa orang Islam tidak patut minum minuman beralkohol dan terlibat dalam aktiviti haram dari segi agama.
“Tetapi umat Islam tidak harus campur tangan dalam hal ehwal budaya, kehidupan dan perniagaan masyarakat bukan Islam,” katanya.
Aziz Bari pula Aziz Bari menasihati kerajaan lebih berhati-hati dalam menangani isu melibatkan bukan Islam termasuk acara Oktoberfest.
Beliau berkata, Malaysia tidak harus memberi isyarat salah tentang toleransi dan kerukunan hidup berbilang kaum dan agama di negara ini.