• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Pemimpin MIC umum keluar parti

Jun 30, 2023
Spread the love

SEORANG lagi pemimpin MIC mengumumkan keluar dari parti komponen Barisan Nasional (BN) itu berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Ketua Pemuda MIC Selangor, P Punithan mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu surat bertarikh hari ini yang dialamatkan kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Peletakan jawatan itu berlaku hanya tiga hari selepas bekas Naib Presiden MIC, Datuk Sivaraj Chandran yang juga Ahli Dewan Negara melepaskan jawatan selepas dianggap sebagai ancaman kepada parti itu.

Dalam suratnya, Punithan turut memaklumkan untuk melepaskan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda MIC Cawangan Bandar Baru Batang Berjuntai, Kuala Selangor.

Namun, tiada sebarang penjelasan diberikan berhubung tindakannya itu dalam surat berkenaan.

“Setelah berkhidmat dan menjawat pelbagai jawatan di bawah MIC selama 15 tahun termasuk pernah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa MIC Pusat (CWC) serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, Ketua Penerangan Pemuda MIC Kebangsaan.

“Dan banyak lagi jawatan utama di sayap Pemuda peringkat kebangsaan, negeri dan bahagian, hari ini saya membuat keputusan yang berat untuk meletakkan semua jawatan saya dalam MIC,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Punithan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan MIC di semua peringkat, khususnya sayap Pemuda MIC Selangor, yang bersama-sama beliau serta memberi sokongan serta kepercayaan sepanjang karier politiknya ketika bersama parti terbesar kaum India itu.

“Saya percaya saya telah memberikan khidmat yang terbaik serta komitmen yang tinggi sepanjang 15 tahun saya berkhidmat bersama MIC,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap MIC akan terus menjadi suara masyarakat India di bawah kerajaan Perpaduan.

MIC turut dilaporkan memanggil ahli-ahli CWC untuk mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti itu, hari ini.