• Fri. Oct 4th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Pemimpin PH semakin hilang prinsip isu sogokan Zahid – Fadhli Shaari

Aug 1, 2023
Spread the love

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) semakin hilang prinsip kerana tidak berani mengecam tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu pengumuman geran kepada Majlis Belia Negeri Terengganu, Jumaat lalu.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata tiada siapa dalam kalangan pemimpin PH yang bersuara dengan tindakan didakwa sebagai sogokan dan rasuah yang ditawarkan Presiden Umno itu kepada belia Terengganu.

Katanya, setakat ini hanya seorang pemimpin PKR iaitu Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak bersetuju tindakan Ahmad Zahid itu.

“Pemimpin PH semakin hilang prinsip, rasuah dan sogokan yang ditawarkan oleh TPM, Zahid Hamidi tiada siapa yang mengecamnya kecuali Ahli Parlimen Pasir Gudang. Pemimpin lain, diam menikus!

“Rakyat sedarlah, sudah lebur segala prinsip reformasi. Jika kemungkaran di depan mata ini pun tiada siapa yang bangun bersuara, anda masih yakin negara ditadbir dengan baik?,” katanya menerusi Facebook.

Semalam Hassan yang juga pemimpin PKR mengakui tidak bersetuju tindakan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan kepada Majlis Belia Negeri Terengganu, Jumaat lalu.

Menurut Hassan, ini kerana perkara tersebut diumumkan menjelang kempen pilihan raya negeri (PRN).

“Rasuah itu isu legal dan persepsi. Rasuah berkait soal etika, bukan legal semata-mata. Pilihan raya tanpa rasuah adalah pilihan raya yang adil dan bersih,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan peruntukan terbabit semasa merasmikan Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah, sehari sebelum hari penamaan calon PRN.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pengumuman Ahmad Zahid itu dan menyatakan peruntukan kepada golongan belia di Terengganu tiada kaitan dengan PRN pada 12 Ogos ini.