PUTRAJAYA: Peminjam Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh ditetapkan berdepan risiko disenarai-hitam.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata nama peminjam juga akan disenaraikan dalam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dan CTOS.
“Katalah (peminjam) lima tahun dia bayar. Lima tahun seterusnya tidak bayar, namanya akan disenarai-hitam.
“Bank bagaimanapun tidak boleh mengambil daripada KWSP peminjam (disenarai-hitam) sehingga umurnya 50 tahun. Oleh sebab itu, ia bukan satu cagaran. Ia adalah FSA2.
“Kalau usia sudah 50 tahun dan ada baki pinjaman RM10,000 tidak dibayar, barulah KWSP akan memberikan kepada bank RM10,000 yang belum dibayar itu.
“Jadi, risiko pinjam dan gunakan FSA2 ini tetap ada. Risiko masuk CCRIS, CTOS tetap ada kalau tidak bayar pinjaman,” katanya selepas lawatan ke Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, di sini hari ini.
Ahmad berkata, pencarum KWSP tetap mendapat dividen lebih tinggi berbanding faedah pinjaman FSA2 yang ditetapkan pada kadar 4.5 peratus.
“Kerana itu mereka yang meminjam ini atas dua sebab sahaja. Benar-benar kesulitan dan ada keupayaan untuk membayar semula pinjaman,” katanya.
Sebelum ini KWSP mengumumkan kemudahan FSA2 bermula 7 April ini bagi ahli yang mempunyai baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing.
FSA2 akan dijalankan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian, iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Setakat kelmarin, seramai 59,230 orang memohon FSA2 sejak ia mula dibuka pada 7 April dengan hanya 27,705 sahaja daripada jumlah itu yang layak.
- BH