• Sun. Feb 9th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Pemuda PAS buat laporan polis, pelukis kartun Zunar hina Islam, Muhyiddin

Mar 30, 2023
Spread the love

Pemuda Pas akan membuat laporan polis secara besar-besaran terhadap pelukis dan pengendali laman Facebook (FB), Zunar Cartoonist Fan Club atas perbuatan menghina umat Islam.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Malaysia, Nazir Helmi berkata, pihaknya mengecam perbuatan mengaitkan Kaabah yang menjadi lambang kesucian umat Islam bagi menyindir bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, gerakan besar-besaran Pemuda Pas untuk membuat laporan polis itu berikutan perbuatan itu satu penghinaan kepada Islam apatah lagi dalam bulan Ramadan.

“Ternyata gambar yang bersifat ‘troll’ ini tanpa ada rasa kemuliaan kepada Kaabah (yang dibuat) pelukis ini adalah suatu bentuk provokasi membabitkan kesucian agama Islam.

“Sensitiviti ini gagal difahami dan dihayati pentaksub Pakatan Harapan kerana nilai agama seolah bukanlah mustahak bagi mereka sehingga sanggup menjadikan lambang kemuliaan agama ini sebagai bahan mainan bagi menjentik emosi musuh politik ketika pihak kerajaan gagal memberi justifikasi kehadiran PMX ke Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan.

Lukisan bertarikh hari ini itu di muat naik di laman FB Zunar Cartoonist Fan Club kira-kira tujuh jam lalu.

Ia memaparkan lakaran Muhyiddin memasuki Kaabah dan pulang dengan membawa sebungkus guni berisi wang yang digambarkan sebagai kes rasuah membabitkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Lakaran itu turut membuat perbandingan dengan menampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memasuki Kaabah, namun pulang dengan membawa pelaburan. HM