• Mon. Sep 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Pemuda PAS Pusat lapor polis, Laskar Siber PH buat komen lucah

Feb 15, 2023
Spread the love

Dewan Pemuda PAS Pusat semalam (14 Februari 2023) membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, susulan gangguan lucah dan seksual dipercayai dilakukan penyokong fanatik dan tentera siber Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar yang hadir di IPD Dang Wangi, kira-kira jam 3.20 petang semalam berkata, laporan polis itu dibuat susulan beberapa insiden yang dianggap satu ‘serangan siber’ yang dilakukan terhadap beberapa pencipta kandungan media sosial (medsos) PAS dan Perikatan Nasional (PN).

“Bagi saya, (tindakan penyokong PH) itu adalah satu tindakan yang agak melampau kepada respons kritikan terhadap tindak-tanduk kerajaan yang bersifat kronisme, nepotisme yang seharusnya perlu ditegur.

“Dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW, antara jihad utama adalah menegur pemerintah yang melakukan kemungkaran.

“Di sini, kita lihat apa yang dipaparkan oleh beberapa pencipta kandungan medsos PAS dan PN ini adalah selaras dengan apa yang agama Islam kehendaki,” katanya menurut laporan Harakah.

Namun begitu, beliau memberitahu bahawa hal ini telah dibalas dengan tindakan penyokong-penyokong PH yang agak melampau apabila ada segolongan pihak yang tidak bertanggungjawab telah membuat perkara yang tidak senonoh.

“Antaranya, mereka memuatnaik posting-posting yang mendedahkan identiti pencipta kandungan medsos (PAS dan PN) terbabit secara terperinci dengan tujuan mengaibkan mereka.

“Mereka (penyokong PH) telah melakukan serangan seksual dalam posting sehingga menyebut kemaluan wanita, menghina bentuk tubuh badan (body shaming), menghasilkan poster mengaibkan bagi tujuan melemahkan semangat pihak (pencipta kandungan PAS, PN) yang ingin membantu pihak kerajaan dalam mendedahkan salah laku atau perkara-perkara yang tidak betul,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan penyokong PH itu adalah satu tindakan yang salah di sisi undang-undang kerana dengan niat dan tujuan yang tidak betul.

“Mereka (pencipta kandungan medsos PAS, PN) adalah rakyat Malaysia yang mempunyai hak untuk bersuara.

“Apa yang dikatakan itu, jika hujahnya tidak boleh dibalas dengan hujah, maka tidak seharusnya ia dibalas dengan sentimen-sentimen yang bersifat provokasi,” ujarnya

Sehubungan itu, ujar Khairul Nadzir, Dewan Pemuda PAS telah bersolidariti dengan semua pencipta kandungan terbabit, khususnya empat wanita yang secara saintifiknya telah disebutkan dalam laporan polis itu bahawa mereka yang telah diserang secara ‘buli siber’ dan ia merupakan satu jenayah di sisi undang-undang.

Beliau yang mewakili Pemuda PAS Malaysia berharap dan berdoa agar pihak polis dapat menyiasat dengan lebih lanjut.

“Semoga semua pencipta kandungan medsos memanfaatkan kelebihan yang ada pada diri masing-masing dengan menyampaikan maklumat yang bermanfaat dan akhirnya memperoleh balasan pahala daripada Allah SWT,” katanya. AD