Shah Alam, 8 SEPT: Dewan Pemuda PAS Shah Alam (DPPKSA) membuat laporan polis terhadap pemimpin kanan DAP, Teresa Kok berkaitan kenyataan bahawa cadangan mewajibkan sijil halal akan menambah beban kepada peniaga dan memalukan negara.
Menurut Setiausaha DPPKSA, Ansarullah Zulkefli laporan tersebut dibuat petang semalam di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.
Pihak DPPKSA memohon pihak polis menjalankan siasatan segera ke atas Ahli parlimen Seputeh tersebut kerana kenyataannya boleh menjejaskan ketenteraman awam, menggugat keharmonian kaum dan seolah-olah mencabar Islam sebagai agama persekutuan seperti dicatatkan dalam perlembagaan.
Kenyataan beliau yang juga Naib Pengerusi DAP, seperti dilaporkan media berhubung cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal turut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
“Walaupun banyak restoran tidak menyediakan daging babi atau alkohol, mereka tidak memohon pensijilan halal. Ini termasuklah ribuan pengusaha restoran kecil Melayu.
“Jika pensijilan halal ini diwajibkan, ia bukan sahaja akan mencetuskan reaksi negatif dalam negara, malah mungkin memalukan negara kita di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.