• Thu. Sep 21st, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Pemuda UMNO gesa DAP minta maaf

Jun 8, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO hari ini menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO sehingga mengguris hati semua ahli parti itu hingga kini.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata jika DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, mengapa tidak kepada UMNO.

“Pemuda UMNO menuntut DAP perlu membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan cakap yang kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, rasis.. tidak sama sekali akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan ini.

“Kalau masa mahu tubuh Kerajaan Perpaduan dulu, DAP boleh terbang ke Sarawak berjumpa dengan GPS, minta maaf.

“Maka hari ini, kalau mahu lembutkan hati orang UMNO, kalau suci mahu menjalin tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik tohmahan diberi kepada UMNO dulu.

“Kalau jujur, kenapa dengan GPS boleh, kenapa tidak buat dengan kita. Saya mohon kepimpinan DAP kalau mahu nak menempuh Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ini, mahu hati orang UMNO lebur, maka satu tuntutan maaf daripada DAP atas tohmahan selama ini, mesti dilakukan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.

Pemuda UMNO kekal dengan pendirian tidak menjemput wakil daripada mana-mana parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, selain parti komponen Barisan Nasional (BN).

Berbeza Wanita dan Puteri yang mana pentas persidangan dua sayap itu dilihat dihadiri pemimpin PH termasuk DAP yang membentuk kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal mengakui sedar kedudukan UMNO bersama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini sedikit meresahkan akar umbi UMNO.

“Saya faham, dalam rumah kita ini ada yang resah, ada yang gelisah. Meskipun sudah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba.

“Ada yang datang berjumpa, mengadu dan meluahkan perasaan, risau sawah sejalur tinggal sejengkal, tanah sebidang mudah terjual. Risau bila bersama DAP, keris UMNO terperosok ke bumi. Risau bila bersama DAP, UMNO diam terbisu, kampung tergadai.

“Kita nak tegaskan, Pemuda UMNO akan pastikan yang UMNO tidak akan sesekali menjadi DAP. Inilah cara kita, tiada selindung, jujur yang kita junjung,” katanya.

Katanya, penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini juga dibuat atas faktor titah Yang di-Pertuan Agong untuk menjamin kestabilan politik negara.

“Kita bersama untuk membentuk kerajaan. Kita berkongsi ruang pentadbiran, tetapi bukan ruang fahaman. Kita rentas politik kepartian, tapi kita sempadankan prinsip perjuangan.

“Kalau ada yang berani melintas, Pemuda UMNO yang pertama akan datang mencantas,” katanya.

  • BH