• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Pemuda UMNO suruh DAP mintak maaf tapi Zahid kata tak perlu

Jun 8, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Zahid Hamidi berkata isu DAP perlu memohon maaf atas apa yang dikatakan tohmahan terhadap Umno tidak perlu ditimbulkan ketika ini.

Presiden Umno berkata, partinya dan DAP sudah melupakan sengketa selepas kedua-duanya mencapai persetujuan dalam perundingan membentuk kerajaan perpaduan.

“Perkara itu (DAP mohon maaf kepada Umno) tak perlu timbul lagi kerana mereka (DAP) menyatakan beberapa kali (hubungan Umno-DAP), malah dalam rundingan untuk membentuk kerajaan, itu menjadi syarat utama kepada kita dan mereka setuju 100% (lupakan sengketa).

“Tidak perlu kita ulang tentang perkara dipersetujui,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Zahid berkata demikian sebagai respons kepada desakan Ketua Pemuda, Dr Akmal Saleh supaya DAP memohon maaf kepada Umno atas tohmahan terhadap parti itu kerana ia mengguris hati semua ahli sehingga kini.

Akmal berkata, permohonan itu perlu dibuat jika DAP mahu melembutkan hati orang Melayu dan Umno supaya memilih mereka pada PRN akan datang.

“DAP perlu membuktikan segala tohmahan pemikiran, cakap-cakap DAP anti-Melayu, anti-Islam, rasis, komunis ‘centric’, tidak sama-sekali akan berlaku dalam kerajaan perpaduan.

“Kena jujur, kenapa dengan GPS (Gabungan Parti Sarawak) boleh buat, kenapa bukan dengan kita. Kalau betul-betul suci menjalinkan tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik segala tohmahan kepada Umno dulu. Tiada selindung lagi, kita kena jujur…inilah luahan hati akar umbi,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sejauh mana penerimaan akar umbi terhadap kerjasama kerajaan disertai DAP, Zahid berkata Umno mempunyai prinsip yang terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan harapan (PH).

“Maka asas inilah terbentuknya kerajaan. Jangan terbuai dengan pihak tidak senang dengan kewujudan dan kestabilan kerajaan sekarang. Hakikatnya kebersamaan BN dan PH terbentuk dengan keserasian semakin bertambah, mungkin di akar umbi ada kaedah tertentu untuk kita lakukan dan beri penjelasan,” katanya.

  • FMT