• Wed. Feb 8th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Penduduk naik sepanduk tuntut janji ‘dicapati’ YB di Sementa, Kapar

Oct 28, 2022 ,
Spread the love

Rentetan janji wakil rakyat yang tidak ditunaikan, penduduk di satu lot di Jalan Rebung, Bukit Kapar dalam Parlimen Kapar melancarkan kempen menuntut janji tersebut ditunaikan dalam kadar segera sebelum Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15.

Hal ini tentang janji yang ‘dicapati’ untuk menurap sebatang jalan hanya sepanjang 500 meter yang menghubungkan antara Jalan Rebung dan Jalan Kempas di Kg. Bukit Kapar. Ini terkandung dalam surat terbuka mereka kepada YAB Menteri Besar Selangor, YB Exco, YB-YB Wakil Rakyat, Bakal-bakal YB, Pemimpin Parti Politik dan pihak berkaitan.

Penduduk tersebut daripada Lot 4032 yang terdiri daripada 26 buah rumah, hampir 200 penduduk dan 104 pengundi berdaftar, iaitu tinggal di sepanjang laluan dijanjikan penerapan tar tersebut di Lorong Hj. Hashim Md. Damin. Mereka mendakwa surat terbuka tersebut dikeluarkan setelah pelbagai surat rasmi secara tertutup dengan maksud tersebut seolah-olah dibakulsampahkan.

Menurut wakil penduduk, Sulhisyam Hj Sayuti perkara tersebut diketengahkan lebih 15 tahun yang lalu dan setiap PRU 2008, 2013 dan 2018, calon-calon yang bertanding berjanji akan menyelesaikan penurapan ini – janji yang mereka namakan ‘penipuan daripada YB setelah menang’.

Setelah pelbagai surat susulan berserta tandatangan penduduk, ada wakil YB-YB yang turun menjengok jalan, tapi hanyalah wayang untuk mengaburi mata penduduk sahaja – janji untuk menurap tar tetap dicapati.

Menurutnya lagi, kini PRU Ke-15 datang kembali, kerajaan negeri masih sama – semuanya pasti turun menabur janji, tetapi setiap mereka yang turun termasuklah calon dan petugas-petugas parti perlulah menyelesaikan masalah ini terlebih dahulu sebelum nak berkempen kepada mereka.

Sehubungan dengan itu, penduduk memohon dengan rendah hati supaya pihak berkuasa melakukan usaha dalam kadar segera untuk menurap semula tar yang berusia 19 tahun di jalan tersebut yang sering dilalui seluruh penduduk sekitar.

Mereka juga menggesa parti-parti politik tidak mencalonkan mereka yang gagal melaksanakan amanah itu dan menyeru penduduk parlimen tersebut tidak memilih calon sebegini andai kata dicalonkan semula.

Info lanjut tentang hal kecil tar yang tak selesai lebih 15 tahun ini turut disebarkan penduduk melalui sepanduk di beberapa jalan kampung, poster digital serta tulisan dalam pelbagai media massa termasuklah di laman web: tar4032.wordpress.com

Untuk rekod, parlimen ini dimenangi oleh Pakatan Harapan – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PRU-14 melalui YB Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid (Parlimen Kapar) dan YB Dr. Daroyah Alwi (DUN Sementa). Namun, Daroyah kini telah menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebagai Ketua Wanita parti baharu tersebut.