• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Penduduk Sekinchan bengang air keruh, berkeladak

Apr 26, 2023
Spread the love

SEKINCHAN – Penduduk di Kampung Sungai Leman di sini mengeluh berikutan menerima bekalan air keruh sejak sambutan Hari Raya Aidilfitri Sabtu lalu.

Rata-rata penduduk mendakwa, masalah air berubah warna itu merisaukan mereka lebih-lebih lagi penggunaan keperluan asas itu meningkat sepanjang perayaan ini.

Seorang penduduk di Kampung Tali Air 7, Shahrin Azhar, 31, berkata, penduduk kecewa kerana masalah itu berlarutan sejak lima hari lalu.

“Saya dapat kesan air berubah warna pada tengah hari 1 Syawal lalu selepas mendapati air daripada tong tadahan di bilik air keruh dan berkeladak.

“Saya kemudian ambil inisiatif cuci tong air, namun masalah sama terus berulang hingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.

Shahrin berkata, meskipun menggunakan penapis air di luar rumah masalah itu terus berlarutan.

“Kalau kita buka paip air nampak jernih, tapi apabila ditadah pada tong air atau besen mula nampak perubahan warna seperti air teh dan berlaku mendapan keladak,” jelasnya.

Seorang peniaga makanan, Atikah Nakmat, 33, berkata, masalah itu menyebabkan penduduk terpaksa bergantung kepada air mineral untuk kegunaan dan minuman.

“Kalau kita buka paip air nampak jernih, tapi apabila ditadah pada tong air atau besen mula nampak perubahan warna seperti air teh dan berlaku mendapan keladak,” jelasnya.

Seorang peniaga makanan, Atikah Nakmat, 33, berkata, masalah itu menyebabkan penduduk terpaksa bergantung kepada air mineral untuk kegunaan dan minuman.

Malah, katanya, dia juga terpaksa berhabis duit untuk membeli air mineral bagi penyediaan kuih peneram yang dijualnya di Pasar Sekinchan.

“Saya belanja membeli air mineral sahaja RM60 sehari untuk kegunaan memasak dan membuat kuih.

“Kalau berterusan begini, saya pun berisiko tanggung kerugian kerana kos lebih tinggi daripada jualan,” kata Atikah.

Seorang warga emas, Surati Tamiran, 68, berkata, penduduk bimbang jika air tersebut tercemar dan tidak selamat.

Katanya, sekiranya air tidak selamat penduduk berisiko menghidap pelbagai masalah kesihatan antaranya batuk dan sakit kerongkong.

“Mahu atau tidak terpaksa minum air juga, cuma kami bernasib baik sebab guna penapis air minuman,” menurut Surati.

Fatimah Mat Isa, 62, dari Parit 5 berkata, masalah air keruh menyebabkan kebanyakan baju yang dicuci bertukar warna kekuningan.

Jelasnya, masalah itu menyebabkan penduduk terpaksa membasuh sehingga dua atau tiga kali berbanding pada kebiasaannya.

“Kain baju terutama warna terang yang dicuci berubah warna karat dan keadaan ini amat menyusahkan penduduk,” tambahnya.

Nurul Ain Abdul Kahar 31, pula memberitahu, masalah air keruh dan berkeladak jarang berlaku sebelum ini.

Katanya, pihak berwajib diminta menyelesaikan segera masalah membelenggu penduduk terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil.

“Misalnya saya sendiri ada anak kecil berusia lima bulan dan bergantung sepenuhnya pada susu badan, namun jika saya minum air tercemar bimbang melarat pada anak.

“Setakat ini tiada kesan sampingan kepada kesihatan dan berharap masalah ini tidak terus menghantui penduduk,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memberi kenyataan berkaitan aduan penduduk itu dalam waktu terdekat.