KLANG – Penduduk Taman Sungai Sireh di sini menyuarakan bantahan terhadap keputusan kerajaan bagi membina landasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tanpa sebarang pemakluman atau sesi libat urus bersama mereka.
Malah, terdapat penduduk di situ terdiri daripada golongan B40 dan sudah berusia tidak rela kawasan mereka digunakan bagi projek mega tersebut.
Dakwanya, tiada wakil sama ada Kerajaan Pusat atau negeri yang berjumpa bagi memaklumkan secara rasmi berhubung projek tersebut.
“Projek ini pastinya akan melibatkan pengambilan tanah dan kita bimbang apabila dianggarkan 300 penduduk akan terkesan tanpa sebarang lokasi alternatif pemindahan yang sesuai.
“Ketika ini pun dapat dilihat kontraktor yang dilantik ECRL sudah pun membuat kerja penandaan serta ukur tanah sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan aman di taman tersebut.
Kira-kira 100 penduduk menyertai perhimpunan aman itu selain menyerahkan memorandum bantahan kepada Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali.
Ketika bercakap dengan wartawan Media Fastaqim, YB Dr Halimah menggesa pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan pemaju projek agar menghalusi semula isu ini supaya dapat diselesaikan secara berhemah dan memastikan penduduk yang terlibat tidak teraniaya, serta kehidupan komuniti taman tetap terpelihara dalam usaha Kerajaan menguruskan pembangunan dan kemajuan negara.