• Fri. Dec 6th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Penembak kejam masjid New Zealand dipenjara seumur hidup

Spread the love

CHRISTCHURCH: Penembak insiden di masjid New Zealand, Brenton Tarrant hari ini dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol, atas tindakannya membunuh 51 orang Islam tahun lalu, dengan hakim menyifatkan perbuatannya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Adalah tanggungjawab mahkamah untuk bertindak dalam cara yang tegas bagi menggambarkan penolakan jenayah keji ini,” kata Cameron Mander ketika mengumumkan hukuman yang kali pertama dalam sejarah perundangan New Zealand.

Tarrant tidak menunjukkan sebarang petanda ketika mula berpindah ke New Zealand dari Australia pada 2017, kerana penjenayah itu tiada rekod jenayah lampau atau berada dalam senarai keselamatan.

Bagaimanapun, lelaki berusia 29 tahun itu kini tercatat dalam sejarah New Zealand sebagai individu pertama disabit kesalahan sebagai pengganas, dan yang pertama dikenakan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol di negara itu.

Selepas berpindah ke Dunedin, New Zealand, dia mula mengumpul pelbagai jenis senjata dengan niat melakukan jenayah terhadap komuniti Muslim di negara itu.

Selepas persediaan rapi, perancangannya menjadi kenyataan pada 15 Mac tahun lalu apabila Tarrant menyerang dua masjid di Christchurch, sambil menyiarkannya secara langsung.

“Beliau berniat mewujudkan perasaan takut terhadap individu yang didakwanya sebagai ‘penceroboh’, termasuk masyarakat Muslim atau secara amnya warga asing di Eropah,” kata pendakwa raya, Barnaby Hawes ketika perbicaraan, di Mahkamah Tinggi Christchurch, minggu ini.

Beberapa maklumat mula dikesan mengenai Tarrent yang tidak bergaul dengan masyarakat dan suka meluangkan waktunya di gimnasium selepas menjadi mangsa buli kerana berat badan berlebihan ketika remaja.

Beliau juga didapati terkesan teruk apabila bapanya meninggal dunia akibat kanser pada 2010 pada usia 49 tahun, namun tiada yang secara jelas mengenai kebenciannya di sebalik jenayah itu. – AFP