Sejak program Menu Rahmah diperkenalkan awal tahun ini, Muhammad Nor Deraman antara peniaga terbabit dalam kempen menyediakan hidangan set makanan lengkap bernilai RM5 bagi membantu mengurangkan kos sara hidup orang ramai.
Namun sejak awal bulan ini, peniaga di Bukit Sentosa, Rawang itu tidak lagi mampu beroperasi kerana menampung kos tinggi apabila perlu membeli beras import yang lebih mahal susulan kekurangan beras tempatan di pasaran.
“Sekarang dah tak boleh buat Menu Rahmah, beras sekarang ini dah meningkat mendadak sehingga RM40 untuk pek 10kg (terpaksa membeli beras import)…jadi macam mana kita nak jual murah.
“Saya dah pergi banyak pasaraya tetapi tak nampak beras tempatan, mana saya hendak cari lagi,” kata peniaga berusia 63 tahun itu kepada FMT.
Media sebelum ini melaporkan, harga beras dunia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 tahun selepas pengeksport utama, India menyekat penghantaran beras putih bukan basmati hujung Julai lalu.
Susulan situasi itu, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam kenyataan memberitahu, harga beras putih import meningkat 36% iaitu sebanyak RM850 satu tan metrik atau 85 sen sekilogram bermula 1 Sept lalu.
Pada 5 Sept lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata pengeluaran beras putih tempatan di seluruh negara dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT).
Sementara itu, seorang suri rumah dikenali Suhaila, 47, berharap pihak berkuasa dapat memantau pasaraya dan premis pemborong beras untuk melihat punca berlakunya kekurangan bekalan beras tempatan.
“Takut ada yang sorok sebab beras tempatan itu memang susah nak dapat, tetapi beras (import) yang mahal semuanya ada ,” katanya.
Bagi pekerja kilang automotif, Shahrin Bahrin, 51 berkata kekurangan bekalan beras tempatan harus ditangani segera kerajaan agar tiada pihak mengambil kesempatan.
“Teruk sangat dah sekarang ini, bukan sebab inflasi semata-mata tetapi ramai ambil kesempatan,” katanya.