• Mon. Sep 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Peniaga tawar Menu Rahmah desak kerajaan kawal harga bahan mentah

Mar 5, 2023
Spread the love

Beberapa pengusaha makanan yang menawarkan hidangan Menu Rahmah berharap kerajaan dapat membantu mengawal selia harga bahan mentah bagi mewujudkan situasi menang-menang.

Seorang peniaga nasi kandar di Shah Alam yang ingin dikenali sebagai Nur Jannah, 36, berkata beliau mungkin hanya mampu menawarkan Menu Rahmah selama empat atau lima bulan lagi tanpa bantuan daripada kerajaan.

“Kalau boleh, harap kerajaan minta pembekal turunkan harga bahan mentah sedikit. Sebaiknya kami dapat manfaat bersama, baik peniaga mahupun pelanggan yang berpendapatan rendah.

“Saya menyahut inisiatif Menu Rahmah ini dengan tujuan membantu orang yang memerlukan, namun saya tak mampu bertahan lama tanpa suntikan dana atau subsidi daripada kerajaan.

“Apatah lagi cuaca yang makin buruk baru-baru ini, harga sayur-sayuran tambah jadi tak stabil,” katanya kepada FMT.

Zaidi Mahyiddin, 50, yang mengusahakan sebuah kedai tomyam di Shah Alam, turut meluahkan harapan agar kerajaan dapat mencari inisiatif untuk mengawal harga bahan mentah di pasaran.

Katanya, peniaga tidak mendapat keuntungan dengan menjual hidangan Menu Rahmah kerana mereka perlu mengeluarkan modal tinggi untuk membeli bahan mentah dan menampung kos-kos lain.

“Kos nasi bersama ayam, kuah sambal dan sup pun sudah mencecah RM3. Kos lain seperti gaji pekerja, sewa kedai, utiliti mahupun pengangkutan juga perlu dikira,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zaidi, sejak menawarkan hidangan Menu Rahmah, jualan di restorannya semakin bertambah.

“InsyaAllah, saya rasa kedai saya mampu menawarkan menu ini dalam jangka masa yang lama, mungkin hingga dua tahun.

“Sebab masih ada lagi 15 menu lain yang dapat memberi keuntungan bagi menampung kos (Menu Rahmah),” katanya.

Peniaga burger, Amiruddin Abdullah, 40, pula memberitahu beliau tidak mengalami kerugian dengan menawarkan Menu Rahmah setakat ini.

“Dari segi jualan pun, tidak terjejas kerana Menu Rahmah ini antara menu tambahan yang saya jual.

“Saya hanya membuat menu ayam kerana kosnya rendah. Paling mahal pun, (harga) ayam naik RM10.50 sahaja untuk sekilogram.

“Bagaimanapun, saya tak pasti berapa lama dapat tawarkan menu ini,” katanya.Ads by Kiosked

Amiruddin berharap kerajaan dapat memberi bantuan dari segi kos pembungkusan, dengan meletakkan jenama perniagaan serta nama “Rahmah” bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Pada 31 Jan lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub melancarkan inisiatif Menu Rahmah, yang menawarkan hidangan berharga RM5.

Sebanyak 15,000 premis menjual makanan telah menyertai usaha berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Salahuddin baru-baru ini berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan pemberian insentif kepada pemilik restoran yang menawarkan menu itu, dan beliau akan memanjangkan perkara tersebut kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.