Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 di N.42 Tioman yang melibatkan 28,465 pengundi berdaftar diadakan semula pada 7 Disember 2022 selepas calon Perikatan Nasional (PN) meninggal dunia sebelum pengundian asal pada 19 November 2022.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penyandang sejak 2008 calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Mohd Johari Hussain memenanginya dengan menewaskan calon PN, Idaya Hashim serta tiga calon lain termasuklah calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang menarik diri dengan menyokong calon BN.
Peratus keluar mengundi adalah rendah iaitu 58.39 peratus berbanding 75.7% yang keluar mengundi pada 19 November berdasarkan peratusan undi di P.91 Rompin dan Dun-dun di bawahnya.
Peratusan ini menunjukkan seramai 16,620 tidak keluar mengundi, iaitu peratusan yang lebih rendah berbanding sasaran SPR melebihi 60%.
Walaupun BN memenanginya, data menunjukkan penyokong BN ramai yang melakukan undi protes termasuklah mengundi calon Muslimat Pas tersebut, selain pengundi PH yang tidak mahu menyokong BN walaupun diarahkan oleh kepimpinan negeri dan nasional.
Simulasi jumlah undi berdasarkan undi dalam PRU-15 lalu di P.91 Rompin dan dua Dun di bawahnya, iaitu N.40 Bukit Ibam dan N.41 Muadzam Shah menunjukkan PN memperolehi undi sebanyak 9,345 di Dun Tioman, BN (9,129) dan PH (2,160).
Simulasi PRU-15 ini menunjukkan gabungan undi BN dan PH adalah sebanyak 11,289 sepatutnya menewaskan PN dengan majoriti 1,944 undi di Dun Tioman.
Sebaliknya, keputusan PRU-15 sebenar seperti diumumkan oleh SPR di Dun tersebut yang berlangsung pada 7 Disember 2022 menunjukkan gabungan PN-BH hanya menang dengan majoriti tipis sebanyak 573 undi.
Lebih malang, penyokong PH seramai 2,160 sepatutnya menambah majoriti kemenangan BN, namun kira-kira 784 pengundi tidak mahu mengundi rakan barunya, BN sebaliknya memberi undi kepada calon PH yang telah menarik diri.
Dengan mengambil kira peratus keluar mengundi yang rendah, iaitu berkurangan 17.31% daripada simulasi Parlimen Rompin, hal ini menunjukkan PN sepatutnya mendapat undi sebanyak 7,727, sementara gabungan BN-PH mendapat 9,334 undi.
Namun, keputusan sebenar menunjukkan PN mendapat 7,507 undi (berkurang 220 undi), sementara BN-PH mendapat 8,080 undi (menurun 1,254 undi).
Berdasarkan simulasi tersebut, ternyata kira-kira 1,034 pengundi BN mengalih sokongan dalam tempoh 18 hari kepada PN, tidak termasuk 784 pengundi PH yang tidak memberikan sokongan kepada BN.
Hal ini berkemungkinan besar disebabkan protes dalam kalangan pengundi BN, khasnya Umno yang bergabung membentuk kerajaan dengan PH-DAP di peringkat negeri serta persekutuan, dengan mengenetepikan kerajaan campuran dengan PN yang memenangi majoriti Dun dan parlimen lebih besar serta dipimpin oleh wakil rakyat Melayu Muslim. (Media Fastaqim)